Penyokong Kuala Lumpur City FC merempuh padang meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC  pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Penyokong Kuala Lumpur City FC merempuh padang meraikan kemenangan selepas menewaskan Selangor FC pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ekoran insiden penyokong yang menceroboh kawasan padang sejurus tamat aksi akhirnya memakan diri apabila skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) dikenakan hukuman berat oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menerusi keputusan yang dikeluarkan itu, KL City akan bermain tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Melaka United yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir kedua antara KL City dan Selangor FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu jelas melanggar peraturan MFL berkaitan Peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.

Katanya, insiden berkenaan juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.

"Pihak MFL sudah menerima surat balas daripada Kuala Lumpur City FC pada hari ini (semalam) di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 yang berlangsung pada 22 November 2021 dan Kuala Lumpur City FC bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021," katanya.

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan keputusan insiden penyokong memasuki kawasan padang ketika perlawanan Selangor dan Terengganu FC pada peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 7 November lalu.

"Sekretariat MFL menerima laporan bahawa beberapa pemain Terengganu FC tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan berlari ke arah penyokong untuk meraikan gol kedua Terengganu FC.

"Beberapa penyokong turut didapati melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan pergi ke arah padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC.

"Terengganu FC melanggar Bahagian 3 (v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, yang menyatakan bahawa penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.

"Sekretariat MFL turut mendapati Terengganu FC melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib.

"Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Terengganu FC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan itu bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 11:28 AM