Pemain TFC II, Mohammad Samsul Ikram Daud (kanan) diasak oleh pemain Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana. FOTO Bernama
Pemain TFC II, Mohammad Samsul Ikram Daud (kanan) diasak oleh pemain Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian juara Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah berkecai selepas tumpas 0-1 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Jaringan tunggal pasukan tuan rumah menerusi ayam tambatannya dari Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-87 selepas bijak memperdaya penjaga gol ternyata mengecewakan pasukan Harimau Kumbang.

Bagaimanapun, skuad kendalian Roshadi Wahab itu terpaksa menunggu perlawanan terakhir Kuala Lumpur menentang Kuching FA sebelum mengesahkan kedudukan sama ada di tempat kedua ataupun ketiga liga.

Terdahulu kesungguhan TFC II bermula dengan peluang pertama menerusi sepakan leret dari luar kotak Dechi Marcel pada minit ke-14, namun sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol pelawat.

Lima minit berselang, pemain kacukan Malaysia-England, Darren Lok hampir berjaya membuka tirai jaringan hasil umpanan Mintah dari sebelah kanan pintu gol tapi pemain itu gagal menyudahkan peluang itu.

Selepas kerap ditekan, skuad Harimau Kumbang memperkemaskan asakan, namun masih buntu memecah kebuntuan gol walaupun memperoleh dua peluang menarik menerusi Mohamad Al Hafiz Harun pada minit ke-20 dan Bobby Gonzales tujuh minit berselang.

Pada minit ke-44 Mintah harus menyalahkan diri sendiri apabila peluang yang dimiliki di dalam kotak penalti gagal disudahi dengan jaringan selepas tolakannya dapat dibaca penjaga gol, Samuel Somerville sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Bersambung babak kedua, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid memasukkan penjaring terbanyaknya, Anselmo Casagrande menggantikan Gonzales, tapi masih buntu memburu gol.

Percubaan tepat pelawat hanya hadir pada minit ke-69 menerusi rembatan pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon yang tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Ketika perlawanan tampak berkesudahan seri, Mintah bijak menguis bola untuk pasukannya melebur rekod tanpa kalah pelawat.

Selepas tamat perlawanan, pasukan pelawat diraikan atas kejayaan muncul juara Liga Perdana sekali gus layak ke saingan Liga Super musim depan.

Trofi disampaikan Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah MFL, Marzuki Sulong.

Keputusan perlawanan Liga Perdana :

UKM FC 2 Perak II 1

Kelantan United 2 Selangor II 1

Terengganu FC II 1 Pulau Pinang 0

Negeri Sembilan 1 Sarawak United 2

JDT II 0 Kelantan 1

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:34 PM