Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: "Saya sendiri pernah berpengalaman tidur di lantai ketika menerima rawatan di hospital lebih 30 tahun lalu kerana kekurangan katil di hospital ketika itu," kata Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dr Noor Azmi berkata, peristiwa itu menyentuh hatinya dan berasa betapa pentingnya keperluan katil di hospital bagi merawat pesakit.

Katanya, sebaik menjawat jawatan Timbalan Menteri Kesihatan 1, beliau bertekad memastikan kapasiti katil hospital mencukupi terutamanya ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Saya sendiri mempunyai pengalaman mendapat rawatan tanpa ada katil dan dari situ saya memahami betapa pentingnya bagi hospital untuk mempunyai katil yang mencukupi.

"Inisiatif jenama Hijrah yang menyumbangkan 50 katil kepada hospital sangat dialu-alukan kerana kita mahu setiap individu menerima rawatan selesa," katanya ketika berucap pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Hijrah di Balai Berita di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Etika merangkap wakil jenama Hijrah Mohd Zurairi Mustafa, barisan pengurusan kanan Media Prima dan Harian Metro.

DR Noor Azmi  (dua dari kanan) menerima simbolik penyerahan sumbangan katil dan tilam hospital daripada Mohd Zurairi  (dua dari kiri) sambil disaksikan Dr Syed Hussian (kanan) dan Husain pada Majlis Titipan Kasih Harian Metro bersama Hijrah di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur.  FOTO Aizuddin Saad
DR Noor Azmi (dua dari kanan) menerima simbolik penyerahan sumbangan katil dan tilam hospital daripada Mohd Zurairi (dua dari kiri) sambil disaksikan Dr Syed Hussian (kanan) dan Husain pada Majlis Titipan Kasih Harian Metro bersama Hijrah di Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Katanya, kerjasama syarikat swasta penting bagi memastikan kapasiti fasiliti kesihatan awam terus terjamin dan mencukupi.

Beliau berkata, inisiatif Hijrah memberikan sumbangan ini membawa rahmat yang begitu besar kepada mereka yang sedang menerima rawatan.

"Program anjuran Harian Metro dan Hijrah ini bertepatan dan membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

"Besar harapan saya untuk Program Titipan Kasih Harian Metro menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang terus membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Husain dalam ucapannya berkata, sumbangan katil itu adalah satu daripada inisiatif kerjasama Harian Metro bersama Hijrah menerusi kempen Hijrah, Bermula Dari Hati.

Katanya, sebagai rakan media, Harian Metro berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Hijrah bagi meringankan beban ditanggung kerajaan dan pasukan barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Harian Metro bukan sekadar penyampai maklumat dan berita, malah akhbar ulung ini sentiasa prihatin terhadap masyarakat setempat yang memerlukan bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei) Khalid Alvi berkata, Hijrah bertekad membantu warga Malaysia mengharungi Covid-19.

Menurutnya, Hijrah berganding bahu bersama Harian Metro membantu meningkatkan efisiensi perkhidmatan hospital dan pesakit dapat diberikan rawatan segera.

Beliau berkata, usaha sama yang dijalinkan sektor awam dan swasta ini membuktikan kerjasama erat sebagai sebuah negara yang bingkas bangun dalam menghadapi Covid-19.

"Di Hijrah, kami sedar untuk menghadapi cabaran ini, kita perlu berganding bahu serta mendapatkan kerjasama semua pihak. Justeru itu, Hijrah melancarkan kempen Bermula Dari Hati yang bertujuan untuk bersama-sama membantu rakyat Malaysia dalam mengharungi saat sukar ini.

"Terdapat pelbagai aktiviti yang akan dijalankan menerusi kempen ini dan kami berharap rakyat Malaysia akan terus bersama kami. Kami juga akan terus memberi yang usaha terbaik kepada semua pihak.

"Kami juga berbesar hati apabila inisiatif ini mendapat sokongan Bantuan Khas Covid-19 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Kami berharap agar rakyat Malaysia juga akan turut bersama-sama dalam inisiatif ini untuk menyebarkan kebaikan dan keprihatinan. Kami percaya Hijrah bukan sekadar jenama krimer untuk makanan dan minuman, tetapi juga jenama yang mampu melakukan lebih daripada itu," katanya.

DR Noor Azmi (kiri) bersama Dr Syed Hussian (kanan), Mohd Zurairi (dua dari kiri) dan Husain (dua dari kanan) melihat katil yang akan diagihkan kepada tiga hospital di  Perak dan Kedah. FOTO Aizuddin Saad
DR Noor Azmi (kiri) bersama Dr Syed Hussian (kanan), Mohd Zurairi (dua dari kiri) dan Husain (dua dari kanan) melihat katil yang akan diagihkan kepada tiga hospital di Perak dan Kedah. FOTO Aizuddin Saad

Sebagai jenama yang prihatin, Hijrah mengambil inisiatif untuk sama-sama menyemarakkan kebaikan dan menghulurkan bantuan serta sumbangan yang diperlukan masyarakat bertepatan dengan istilah Hijrah itu sendiri yang sering dikaitkan dengan perbuatan muhibah, kebaikan dan amal jariah yang memberi impak positif kepada masyarakat secara umumnya.

Selain sumbangan set katil tilam kepada pihak hospital, Hijrah turut bekerjasama dengan pihak Harian Metro dalam program Kotak Rezeki Harian Metro.

Program ini diadakan pada 14 Ogos yang lalu bagi membantu golongan B40, terutama mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19.

TKHM adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khusus akhbar Harian Metro untuk meringankan beban keluarga miskin, rumah kebajikan termasuk rumah anak yatim dan golongan kurang bernasib baik dengan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas dan kelengkapan harian.

Program berbentuk amal kebajikan ini juga adalah sebahagian daripada usaha merapatkan hubungan pihak Harian Metro dengan masyarakat khususnya pembaca dan juga rakan penaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:05 AM