Yusmizal Dolah Aling dan Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


PROGRAM Titipan Kasih Khas Harian Metro 2020 (TKHM) yang diadakan di Sik berjaya mencapai matlamatnya.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, fokus untuk membantu golongan kurang berkemampuan menerusi sumbangan Affin Islamic Bank itu amat bermakna terutama kepada mereka yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Katanya, berbeza dengan tahun sebelumnya TKHM kali ini diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memilih penerima sumbangan daripada data sedia ada.

Menurutnya, beliau menghargai kerjasama baik diberikan terutama daripada Affin Bank yang sudah bersama Harian Metro untuk tahun keempat berturut-turut.

"Kita tahu semua orang hari ini menjalani kehidupan dengan normal baharu. Begitu juga dengan TKHM. Kita ikut prosedur operasi standard (SOP) supaya bekerjasama dengan agensi kerajaan.

"Alhamdulillah, ada hikmahnya kerana kita lihat hikmahnya, semua berjalan lancar dan kita berikan bantuan kepada penerima yang benar-benar layak dan itulah objektif TKHM," katanya pada program itu di Sik, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah, Pengarah JKM Kedah Azmi Abd Karim, Pengarang Eksekutif Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Ketua Balai Polis Sik Sarjan Mejar Ariff Ali.

Sementara itu Azmi berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama seperti ini yang memberikan makna kepada pihak yang memerlukan.

NAZLEE Khalifah (dua dari kanan) bersama Azmi Abd Karim (tiga dari kanan) serta Husain Jahit (dua dari kiri) beramah mesra dengan Md Piah Ali yang menerima sumbangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Padang Pulut, Jeneri.  FOTO AMRAN HAMID
NAZLEE Khalifah (dua dari kanan) bersama Azmi Abd Karim (tiga dari kanan) serta Husain Jahit (dua dari kiri) beramah mesra dengan Md Piah Ali yang menerima sumbangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Padang Pulut, Jeneri. FOTO AMRAN HAMID

Katanya, dengan program ini pihaknya boleh mengenalpasti keperluan sebenar rakyat.

"Kita harap mereka dapat menggunakan bantuan ini sebaik mungkin. Jika ada masalah, mereka boleh hubungi jabatan di talian 15999, kita harap tiada lagi prejudis dengan bantuan yang kita sampaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 4:34 PM