Amir Abd Hamid


Putrajaya: Capaian luas di pelbagai platform media termasuk cetak dan digital jenama Harian Metro (HM) selain dipercayai ramai menjadikan HM sebagai pilihan tepat untuk agensi kerajaan dan syarikat melakukan kolaborasi dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu masyarakat.

Memberikan contoh program CSR Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang mendapat kerjasama syarikat pemaju hartanah UDA Holdings Berhad (UDA), Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, syarikat korporat lain juga digalakkan berbuat demikian.

Menurutnya, lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat korporat diseru untuk tampil menghulurkan sumbangan menerusi CSR bagi membantu golongan memerlukan terutama yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Dalam waktu kita masih berhadapan dengan virus Covid-19, saya harapkan lebih banyak pihak korporat tampil ke hadapan membantu. Kita lihat kembali sektor ekonomi, ramai usahawan terkesan, ada yang kehilangan pekerjaan dan pelbagai (kesulitan) lagi.

"Penglibatan tanggungjawab pihak lain yang tampil dan bersama dalam apa juga program CSR seperti yang dilakukan HM hari ini amat dialu-alukan. Secara amnya, dengan pelbagai program CSR yang dilakukan, mungkin kerajaan boleh meneliti semula atau memberi sedikit keistimewaan kepada pemberi sumbangan.

"Saya percaya komitment HM dan capaian mereka begitu meluas serta dipercayai ramai. Itu yang memainkan peranan di samping dapat memberikan satu gambaran dan perspektif baik mengenai agensi di bawah kementerian seperti UDA, bukan hanya menjana keuntungan semata-mata tetapi memberi semula kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek berjumlah RM50,000 termasuk RM20,000 zakat yang diperuntukkan UDA untuk menjayakan program TKHM kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid di pejabatnya di sini, hari ini.

Majlis itu turut disaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings, Mohd Salem Kailany dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima merangkap Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarang Berita HM, Noor Azam Ab Aziz.

Husain berkata, pihak HM sangat mengalu-alukan pihak korporat dan agensi kerajaan bekerjasama dalam program CSR untuk membantu golongan terjejas.

"Apa yang kita harapkan penerima bantuan kelak akan mendapat perhatian berterusan. Kita adalah sebagai pembuka laluan dan berharap pihak lain menyusul kemudian. Jadi bantuan tidak terhenti di situ sahaja," katanya.

Sementara itu Mohd Salem berkata, kolaborasi bersama HM dibuat atas dasar selepas melihat capaian jenama ini yang meluas selain mempunyai program CSR iaitu TKHM yang sesuai matlamat UDA supaya kumpulan sasar akan mendapat manfaat daripada sumbangan yang diberikan.

"UDA menggunakan platform TKHM supaya sumbangan dan CSR kami dapat disalurkan kepada lebih ramai penerima. Alhamdulillah, setakat ini perniagaan UDA memberikan keuntungan setiap tahun. Atas dasar adanya keuntungan ini, sebahagiannya disumbangkan sebagai zakat," katanya.

MAS Ermieyati menyampaikan replika cek kepada Syed Hussian (dua kanan). Turut kelihatan Mohd Salem (kanan), Mohammad Mentek (kiri) Mustapha Kamil (barisan belakang, kiri) dan Husain (barisan belakang, kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
MAS Ermieyati menyampaikan replika cek kepada Syed Hussian (dua kanan). Turut kelihatan Mohd Salem (kanan), Mohammad Mentek (kiri) Mustapha Kamil (barisan belakang, kiri) dan Husain (barisan belakang, kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 1:40 PM