Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Malaysia dijangka akan mencapai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap dewasa dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Keyakinan itu dinyatakan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bersandarkan peratus terkini vaksinasi yang sudah mencapai 89.1 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan peratusan terkini itu, kebenaran rentas negeri juga akan diberikan tidak lama lagi.

"Saya yakin kita akan capai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa sehari dua lagi kerana setakat semalam kita sudah capai 89.1 peratus.

"Pengumuman kebenaran rentas negeri juga akan diberikan selepas kita mencapai peratusan itu seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini," katanya dalam sidang media Program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Hijrah di Balai Berita, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Etika Sdn Bhd yang juga wakil jenama Hijrah, Mohd Zurairi Mustafa, barisan pengurusan kanan Media Prima Berhad dan Harian Metro.

Beliau berkata, sebaik kebenaran rentas negeri diberikan kelak, masyarakat yang berhasrat pulang ke kampung perlu bertanggungjawab melakukan ujian kendiri sebelum bertemu keluarga.

Katanya, kerajaan sudah meluluskan lebih 20 jenama kit ujian kendiri bagi memudahkan masyarakat menjalankan sendiri ujian saringan.

"Sebelum pulang ke kampung nanti pastikan ujian kendiri dijalankan dan kerajaan merancang untuk menurunkan lagi harga kit ujian bagi membolehkan semua menjalani saringan.

"Bagi keluarga B40 juga kerajaan ada rancangan untuk memberikan secara percuma kit ujian kendiri itu," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, keputusan kerajaan membeli pil antiviral Molnupiravir lebih awal untuk memastikan Malaysia menerima bekalan secepat mungkin.

"Kini kerajaan masih menanti keputusan kebenaran penggunaan pil antiviral itu. Beberapa negara seperti Australia sudah membeli pil berkenaan dan kita tidak mahu jika lewat bekalan akan sukar diperoleh.

"Pil antiviral ini mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad namun vaksin masih tetap diperlukan untuk mengatasi Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 12:03 PM