- Foto AFP
- Foto AFP
Agensi

Makkah: Kerajaan Arab Saudi menyediakan kelengkapan kesihatan yang lengkap bagi melancarkan ibadah haji tahun ini, lapor Saudi Gazette.

Ketua Pengarah Kesihatan Makkah, Dr Wael Hamza Mutair sudah melawat kemudahan kesihatan di ibu negara berkenaan.

Petugas kesihatan juga kini dalam keadaan bersedia menerima kumpulan pertama menunaikan ibadah itu tahun ini.

Dr Mutair berkata, dia memantau dengan terperinci persiapan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah di Bahagian Kecemasan Hospital Umum Ajyad.

Semua petugas diminta untuk bersedia memberikan kemudahan kesihatan dan perkhidmatan kecemasan kepada jemaah.

Piawaian kesihatan terbaik digunakan untuk memastikan keselamatan jemaah terjamin sehingga mereka pulang.

Beliau juga mengingatkan jemaah supaya mengambil berat langkah berjaga-jaga seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan mengekalkan kebersihan diri.

Sementara itu, jurucakap rasmi sektor kesihatan Makkah, Hamad Fauhan Al-Otaibi berkata, pusat rawatan kecemasan di Masjidilharam akan beroperasi selama 24 jam.

Ini bertujuan untuk menyediakan rawatan kecemasan kepada jemaah dan pengunjung di masjid agung itu.

Sebagai tambahan, semua jabatan dan bahagian hospital akan bekerjasama untuk memastikan operasi dan waktu bekerja tidak terjejas sehingga memberi kesan kepada kecekapan tugas.

Jemaah haji tiba di Makkah bermula kelmarin dengan pengurangan dua kali ganda jemaah ekoran pandemik Covid-19.

Tahun ini, negara itu membenarkan 60,000 jemaah yang lengkap divaksin untuk menunaikan ibadah itu selepas kejayaan mengekang penularan tahun lalu.

Jemaah dipilih secara rawak, namun jumlahnya meningkat berbanding tahun lalu, tetapi ia masih rendah daripada jumlah kebiasaan.

Jemaah dari luar negara sekali lagi dilarang masuk untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Selepas tiba di Masjidil Haram, jemaah akan mula melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

Jemaah juga membawa payung bagi mengelak daripada terik matahari.

"Setiap tiga jam, 6,000 jemaah akan dibenarkan masuk untuk melakukan tawaf sebaik tiba," kata Jurucakap Kementerian Haji, Hisham al-Saeed kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:30 AM