AFP

Makkah: Jemaah bergerak keluar dari Makkah menuju Mina untuk acara kemuncak ibadah haji pada Ahad.

Ini adalah tahun kedua Arab Saudi mengurangkan bilangan jemaah haji yang boleh menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Hanya 60,000 jemaah yang lengkap divaksin terdiri daripada rakyat dan penduduk negara itu dibenarkan menunaikan haji.

Kebiasaannya, Makkah menerima 2.5 juta jemaah haji setiap tahun sebelum pandemik Covid-19.

Sejak Sabtu, jemaah haji melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam ketika bersolat.

Selepas itu jemaah akan bergerak ke Mina, kira-kira lima kilometer dari Masjidilharam untuk bermalam yang terletak di kawasan lembah dikelilingi gunung berbatu.

KHEMAH jemaah di Mina. FOTO AFP
KHEMAH jemaah di Mina. FOTO AFP

Jemaah dibawa ke sana menaiki bas pada Ahad dengan separuh kapasiti bagi mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Pihak berkuasa juga menyediakan 3,000 kereta elektrik untuk digunakan jemaah berusia dan kurang upaya untuk bergerak.

"Kami melaksanakan penjarakan fizikal di dalam kem dengan empat jemaah untuk setiap bilik.

"Setiap katil akan dipisahkan dengan penghadang untuk memastikan penjarakan fizikal.

"Bagi kawasan umum seperti ruang solat dan kafe, kami menggunakan khidmat pengawal keselamatan untuk memantau keadaan agar tidak sesak," kata operator pelancongan, Hadi Fouad.

JEMAAH berehat di dalam khemah di Mina. FOTO AFP
JEMAAH berehat di dalam khemah di Mina. FOTO AFP

Ibadah haji tahun ini berskala lebih besar berbanding tahun lalu namun jumlah itu lebih kecil berbanding sebelum Covid-19.

Jemaah haji luar negara juga masih tidak dibenarkan masuk untuk menunaikan haji tahun ini.

Semua jemaah yang berjaya menunaikan haji tahun ini dipilih daripada lebih 558,000 permohonan dalam talian dengan menggunakan sistem cabutan rawak.

Jemaah yang berjaya terdiri daripada usia 18 hingga 65 tahun, lengkap vaksinasi dan tidak mempunyai penyakit kronik.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana tidak menyangka terpilih untuk menunaikan haji tahun ini," kata Abdulaziz Mahmoud, 18.

Wanita warga Pakistan, Saddaf Ghafour, 40, bersama rakannya menunaikan haji tanpa 'mahram' yang sebelum ini menjadi syarat wajib untuk wanita yang menunaikan haji bersendirian.

"Ini adalah peluang menunaikan haji di sebalik jumlah jemaah yang sangat terhad," katanya.

SUASANA di khemah yang menempatkan jemaah haji tahun ini. FOTO AFP
SUASANA di khemah yang menempatkan jemaah haji tahun ini. FOTO AFP

Kementerian Haji sebelum ini berkata, pihaknya melaksanakan 'penjagaan kesihatan tertinggi' ketika pandemik ini termasuk penularan varian baharu.

Jemaah akan dibahagikan kepada 20 orang setiap kumpulan untuk mengelak sebarang penularan dan jangkitan," kata Setiausaha Kementerian, Mohammad al-Bijawi.

Kementerian juga memperkenalkan kad pintar untuk kegunaan jemaah di kem, hotel, bas di seluruh kawasan ibadah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 10:11 AM