Mohd Roji Kawi


Kuching: Lelaki menyamar doktor yang ditahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan di Petra Jaya di sini, 1 Julai lalu, tidak mengendalikan proses vaksinasi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, hasil siasatan dalaman pihaknya mendapati lelaki berusia 20 tahun itu tidak memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

Dr Mohamed Sapian berkata, lelaki itu mengaku dia menyamar sebagai doktor dan beberapa kali pergi ke PPV sejak 16 Jun lalu, namun dia tidak melakukan sebarang tugas vaksinasi.

"Dia memperkenalkan dirinya sebagai Dr Shah Hairil dan mengaku sebagai pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) kepada kakitangan dan sukarelawan lain di PPV itu.

"Namun, dia tidak melakukan sebarang tugas kerana dia tidak pernah disenaraikan dalam jadual tugas rasmi yang ditetapkan untuk semua staf dan sukarelawan Kementerian Kesihatan di PPV," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap ketua stesen di PPV akan memastikan semua kakitangan mendaftar masuk dan daftar keluar setiap kali bertugas.

"Semua doktor juga diminta untuk menunjukkan Sijil Amalan Tahunan (APC) sebelum dibenarkan memberi suntikan vaksin," katanya.

Lelaki dari Bandar Baru Semariang itu ditahan pada 1 Julai selepas seorang sukarelawan di PPV Stadium Perpaduan menyedari sesuatu yang mencurigakan kerana 'doktor' itu terlalu muda.

Pada 6 Julai, dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuching dan mengaku bersalah kerana menyamar sebagai doktor.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan 18 Ogos untuk meneliti laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebelum perbuatannya disedari 1 Julai lalu, lelaki itu dikenal pasti memasuki HUS dengan menyamar sebagai doktor sebanyak 32 kali dengan menggunakan pas palsu.

Berikutan kes itu, Dr Mohamed Sapian berkata, pihaknya kini meningkatkan kawalan keselamatan dan pengurusan di PPV bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Doktor yang bertugas harus mengemukakan APC mereka dan nama mereka diserahkan kepada pegawai polis yang ditempatkan di PPV," katanya.

Berita berkaitan

• Patutlah doktor muda sangat, menyamar rupanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 3:54 PM