Nuraliawati Sabri


Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan memantau tahap kesihatan remaja lelaki yang tidak sedarkan diri secara tiba- tiba selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam kejadian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang, hari ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pada ketika ini remaja berusia 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, sihat dan aktif seperti sebelumnya.

Menurutnya, selepas dibawa masuk semula ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan pegawai perubatan melakukan pemeriksaan mendapati keadaan remaja itu stabil dengan tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah adalah normal.

"Selepas pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati dia menunjukkan keadaan stabil sebelum dibenarkan pulang.

"Malah panggilan telefon susulan kepada keluarga dibuat juga mendapati dia sihat dan JKN bersama PKD akan memantau tahap kesihatan remaja ini dari semasa ke semasa," katanya melalui kenyataan media.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati remaja ini tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi selain tidak berselera makan dan hanya menjamah sesudu nasi lemak.

"Semasa proses vaksinasi, remaja ini agak gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.

"Remaja ini juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sejarah alahan sebelum ini," katanya.

Rusdi berkata, kejadian ini berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi.

"Kepada semua ibu bapa dan penjaga yang akan membawa anak untuk vaksinasi pastikan mereka mendapat rehat yang cukup dan makan sebelum hadir ke PPV," katanya.

Berita berkaitan:

  • Remaja hampir pitam sebab tak sarapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 10:57 PM