Raidah (kiri)  dan Siti tidak serik lima kali dimarah  penerima vaksin di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Raidah (kiri) dan Siti tidak serik lima kali dimarah penerima vaksin di Dewan Utama UIAM kampus Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: "Saya tidak serik atau terguris hati walaupun lima kali dimarahi ahli keluarga dan individu penerima vaksin yang tidak berpuas hati kerana menunggu lama," ujar sukarelawan, Raidah Akmal Ahmad, 20.

Dia antara 136 sukarelawan membabitkan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini, yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Utama UIAM.

Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah@IIUM (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi peneraju PPV IPT yang mula beroperasi sejak Ahad lalu.

Menurut Raidah, kelewatan berlaku pada hari pertama PPV beroperasi apabila pihak urusetia perlu menguruskan seramai 802 individu yang menerima vaksinasi membabitkan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, dia tidak terguris hati apabila dimarah mereka yang tidak berpuas hati kerana kelewatan menerima vaksin.

"Pihak urusetia sudah berusaha sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik bagi memuaskan hati orang ramai. Kami cuba sedaya upaya menenangkan individu terbabit yang mungkin penat menunggu.

"Saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin emosi mereka terganggu selepas menerima suntikan," katanya/

Dia yang menuntut di tahun satu jurusan kejururawatan UIAM kampus Kuantan meluahkan tasa bangga dan teruja apabila berpeluang terpilih sebagai sukarelawan di PPV.

Sementara itu, Siti Nurfatimah Iswan, 22, menyifatkan peluang bertugas di PPV adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan apabila dapat membantu melancarkan urusan vaksinasi.

"Saya ditugaskan untuk menguruskan pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum individu terbabit dibenarkan masuk ke dewan," katanya yang belajar dalam jurusan optometri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 5:31 PM