GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pembabitan sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dilihat membantu melancarkan proses pemberian vaksin Covid-19 di 131 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berbanding petugas barisan hadapan perubatan yang menjadi komposisi utama di setiap PPV, sukarelawan yang terdiri daripada golongan belia itu memberi kesan dan impak kepada kelicinan proses pemberian dengan menguruskan perkara yang tidak berkaitan perubatan di setiap PPV.

Beliau berkata, kehadiran sukarelawan MyVAC membolehkan petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat memberi tumpuan kepada aspek perubatan.

"Permintaan untuk penyertaan adalahadalah tinggi tetapi perlu disesuaikan dengan permintaan di PPV itu sendiri.

"Dalam pangkalan data kita memang ada banyak permohonan, mencecah 12,831 dan kehadiran mereka di PPV ditentukan oleh yang bertugas di PPV terbabit.

"Kebanyakan sukarelawan sokongan ini menjalankan tugas bersifat 'non-medical' (bukan perubatan) supaya semua petugas barisan hadapan dapat memberi tumpuan terhadap bahagian perubatan," katanya ketika melawat PPV Khas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ikhwan Toriman; Ketua Setiausaha KBS Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Datuk Wasitah Yusof.

PPV Khas itu adalah untuk pemberian vaksin keluaran AstraZeneca secara sukarela.

Seramai 36 sukarelawan MyVAC ditempatkan di PPV Khas itu iaitu 26 dalam kalangan mahasiswa UKM sendiri manakala 10 lagi dalam kalangan belia di sekitar universiti berkenaan.

Reezal berkata, komitmen yang ditunjukkan sukarelawan terbabit seharusnya dipuji terutama mereka perlu berada seawal 8.30 pagi di PPV sehingga lewat petang, termasuk pada hari terakhir Ramadan hari ini.

"Saya secara peribadi mahu mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada anak muda yang bertugas dengan dedikasi.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan tertinggi UKM yang tampil secara kolektif dalam usaha ini termasuk menyediakan juadahberbuka puasa untuk mereka yang berada di PPV ini," katanya.

Ditanya sama ada sukarelawan MyVAC akan turut diberikan imunisasi awal berikutan mereka perlu mengendalikan penerima vaksin, Reezal berkata, ada antara mereka yang mendapat vaksin terlebih dahulu apabila ada penerima vaksin yang tidak hadir ke janji temu dijadualkan bagi mengelakkan vaksin yang sudah dibuka tidak terbazir.

MyVAC ditubuhkan hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), KBS, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS) dalam membantu melancarkan program imunisasi kerajaan dengan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:52 PM