Mohd Khidir Zakaria


Rembau: "Anak saya belum lihat lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia yang cemerlang kerana masih belum sedar daripada kemalangan dua minggu lalu," kata Mohd Bakri Mohammad, 48, bapa kepada Hana Emyliya Marsyainie, 18.

Hana Emyliya terbabit kemalangan di Kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, 31 Mei lalu dan masih tidak lagi mengetahui keputusan cemerlang, 7A 2B yang diperolehnya dalam SPM.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (Semesra) itu masih belum sedar dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas menjalani tiga pembedahan.

Mohd Bakri berkata, sebelum kemalangan anaknya sememangnya mahu mendapatkan keputusan cemerlang dan dia sememangnya 'ulat buku' dalam kalangan mereka sekeluarga.

"Sejak sekolah rendah lagi Hana sudah menunjukkan sikapnya yang aktif sama ada dalam bidang akademik dan sukan terutama olahraga sehinggakan guru juga menyayanginya.

"Pastinya dia sangat gembira jika dia tahu mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM kerana dia mempunyai iltizam yang tinggi untuk berjaya selepas berusaha sepanjang tahun.

MOHD Bakri menunjukkan gambar dan keputusan cemerlang peperiksaan SPM anaknya, Hana Emyliya Marsyainie yang kini sedang bertarung nyawa di ICU Hospital Tuanku Jaafar selepas mengalami kemalangan di Kilometer 20 Jalan Seremban-Tampin, 31 Mei lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHD Bakri menunjukkan gambar dan keputusan cemerlang peperiksaan SPM anaknya, Hana Emyliya Marsyainie yang kini sedang bertarung nyawa di ICU Hospital Tuanku Jaafar selepas mengalami kemalangan di Kilometer 20 Jalan Seremban-Tampin, 31 Mei lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Kami kini berharap semua pihak dapat mendoakan kesembuhan Hana dan hanya menunggu Hana dalam keadaan benar-benar stabil untuk berkongsi berita berkenaan kepadanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Chembong Utama, di sini, hari ini.

Mohd Bakri yang bekerja di sebuah kilang berulang-alik setiap hari ke hospital bersama isteri dan anak sulungnya, Fathi Nazatul Marsyainie yang terpaksa berhenti kerja di sebuah pasar raya untuk menjaga adiknya di HTJ.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku pada jam 7.45 malam yang turut mengorbankan seorang lagi anaknya, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan, 15, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau akibat pendarahan dalam badan.

"Dialah satu-satunya anak lelaki daripada lima anak saya tetapi Allah lebih menyayanginya. Dia meninggal dunia pada malam itu juga ketika sedang dirawat di Hospital Rembau.

"Walau bagaimana pun saya reda dengan ketentuan Ilahi namun saya berharap agar Hana segera sembuh agar dia dapat menyambung pelajarannya hingga ke peringkat tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:23 PM