AWALUDIN Said. FOTO Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan
AWALUDIN Said. FOTO Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan
BERNAMA

Seremban: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Datuk Seri Dr Awaludin Said terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 27, Jalan Seremban-Tampin, Rembau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, bagaimanapun Awaludin yang memandu kereta jenis Honda Accord bersama isterinya Datin Seri Rozaida Noor Mohd Uzair yang berada di bahagian hadapan penumpang tidak mengalami kecederaan dalam kejadian 2.45 petang itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Daihatsu satu tan dengan muatan batang besi dari arah Seremban menghala ke Tampin mengekori kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapannya dengan rapat, sehingga terlanggar kereta Honda BRV itu yang berhenti kerana kesesakan jalan.

"Pelanggaran kemudian menyebabkan Honda BRV merempuh belakang kereta Awaludin yang berada di hadapannya yang turut berhenti kerana kesesakan. Akibat kemalangan, penumpang belakang kereta itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Rembau manakala pemandu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 2:34 PM