PENDUDUK berarak mengiring jenazah remaja Palestin yang syahid, Rashid Abu Arreh yang ditembak di leher dan dada oleh rejim Israel. FOTO AFP
PENDUDUK berarak mengiring jenazah remaja Palestin yang syahid, Rashid Abu Arreh yang ditembak di leher dan dada oleh rejim Israel. FOTO AFP
Agensi

Gaza City: Derita mereka seakan tidak pernah berakhir, malah sejak lebih dua dekad lalu, sudah lebih 3,000 kanak-kanak dan remaja Palestin syahid akibat serangan tidak berperikemanusiaan Israel.

Penjajahan berterusan rejim itu ke atas wilayah, seiring dengan penindasan mereka terhadap penduduk Arab Palestin tanpa seorang pun terkecuali termasuklah kanak-kanak yang dinafikan hak untuk membesar sempurna.

Data terbaharu Kementerian Penerangan Palestin yang dilapor Al Jazeera menunjukkan sekurang-kurangnya 27 kanak-kanak lagi menjadi mangsa serangan terkini Zionis yang bermula Isnin lalu.

Sepanjang lebih 20 tahun penindasan berlaku, kanak-kanak Palestin berhadapan tujuh serangan agresif di Semenanjung Gaza, tempat pemeriksaan, serbuan ketenteraan, bahkan diusir dari tanah dan rumah yang mereka duduki.

Kerakusan Israel terserlah dengan kekebalan mempengaruhi tindakan mereka termasuk menggunakan senjata, meskipun ketika tiada ancaman walaupun terhadap kanak-kanak.

Kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din menafikan itu dan mendakwa kemungkinan yang membawa kepada aduan mengenai keganasan oleh tentera Israel termasuk membunuh hanyalah 0.7 peratus.

Bagaimanapun, kematian tragis kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa konflik ini tidak boleh dinafikan dan wajah mulus mereka akan sentiasa dikenang.

Berikut antara kanak-kanak dan remaja yang direkodkan terkorban dalam serangan baru-baru ini:

1. Rashid Abu Arreh, 16.

Ditembak di leher dan dada oleh rejim Israel kerana memprotes dalam satu serangan di Tubas, Tebing Barat pada 12 Mei 2021.

2. Said Odeh, 16.

Ditembak dua kali di belakang badan ketika berada berdekatan pintu masuk kampungnya di Odula, Nablus, Tebing Barat pada 6 Mei 2021. Ketika itu tentera Israel melakukan serbuan di kebun zaitun kampung itu.

3. Atallah Rayyan, 17.

Remaja dari tenggara Nablus, Tebing Barat ini ditembak tentera Israel di penempatan Hares pada 29 Januari 2021 selepas didakwa cuba menikam anggota rejim itu.

Keluarga Atallah memaklumkan remaja berkenan dalam perjalanan ke bengkel bapanya di Nablus selepas selesai menduduki peperiksaan di sekolahnya.

4. Mahmoud Omar Sadeq Kmayyel, 17.

Mangsa tembakan di sempadan polis di Bandar Lama, timur Baitulmaqdis pada 22 Disember 2020 selepas didakwa melakukan tembakan terbuka.

5. Ali Ayman Saleh Abu Alia, 15.

Kematiannya berlaku pada hari ulang tahun kelahiran, 4 Disember 2020 ketika dia hanya meninjau protes yang menghalang penjajahan Israel di kampungnya di Al-Mughayyir, timur laut Ramallah. Ali Ayman ditembak di perut oleh tentera Israel.

6. Amer Abdelrahim Snobar, 16.

Turmus Aya, timur laut Ramallah, 24 Oktober 2020

Remaja ini hanya membantu membaiki kenderaan rakannya yang rosak pada 24 Oktober 2020 dekat Turmus Aya, timur laut Ramallah apabila tentera Israel mencekik lehernya dan memukulnya sampai mati. Rakannya berjaya menyelamatkan diri namun, melihat Amer Abdelrahim meninggal dunia malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:30 AM