FAIZAL Tahir. FOTO Arkib NSTP
FAIZAL Tahir. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Faizal Tahir, 43, mengambil keputusan berehat panjang dalam industri muzik selepas Aidilfitri nanti bagi memberi fokus kepada kehidupan peribadi.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, dia sudah terlalu penat akibat bekerja tanpa henti sejak 2015 namun terharu dengan sokongan berterusan diterimanya.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua yang setia di sisi sepanjang perjalanan ini. Sama ada sejak hari pertama ataupun baharu semalam, terima kasih tak terhingga dari hati saya yang terdalam.

"Sejak Assalamualaikum pada 2015, saya kerja tanpa henti. Anatomi, Rojak, Qibla, dan projek-projek lain memang sangat berbaloi. Alhamdulillah. Tapi saya sudah kehabisan tenaga dan kepenatan itu sangat nyata.

"Qibla adalah buah tangan terakhir saya kepada anda semua sebelum berehat panjang selepas Aidilfitri. Saya amat memerlukannya untuk keluarga dan diri-sendiri," katanya.


Faizal juga memberi bayangan dia tidak akan menghasilkan lagu nyanyian sendiri selepas ini. Sebaliknya, dia cuma mahu terbabit sebagai penerbit untuk artis lain.

"Saya masih akan berada dalam industri, menulis dan menerbitkan (lagu). Cumanya, bukan untuk diri saya," katanya. 

Baru-baru ini, Faizal tampil bergabung semula dengan kumpulan nasyid pernah dianggotainya, Mirwana selepas 17 tahun. Mereka bekerjasama menerusi lagu Aku Tanpa Cintamu 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:00 PM