MUHAMMAD Nazril Irham akan menangis jika ibunya tidak membenarkan dia membawa balik kucing jalanan yang dijumpainya.
MUHAMMAD Nazril Irham akan menangis jika ibunya tidak membenarkan dia membawa balik kucing jalanan yang dijumpainya.
Oleh Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Abang Long (Muhammad Nazril Irham) suka kucing." Itu jawapan ringkas pencinta kucing cilik, Muhammad Nazril Irham Mohd Faiz, 5, yang begitu 'obses' dengan 'si bulus' sehingga mahu membela setiap kucing jalanan yang ditemuinya.

Minat mendalam Muhammad Nazril Irham terhadap haiwan itu dikongsi ibunya, Sue Farahanis Md Jaya di aplikasi TikTok.

Perkongsian iu mendapat perhatian warganet sehingga meraih lebih setengah juta tontonan setakat ini.

Sue Farahanis, 30, berkata, anak tunggalnya yang digelar 'Abang Long' itu begitu menyayangi kucing mungkin disebabkan pembawakan ketika dalam kandungan.

"Masa Abang Long dalam kandungan, saya sentiasa melekat dengan kucing. Jika tidak dapat belai kucing dalam satu hari pasti akan rasa tertekan.

"Malah, saya pernah menyambut kelahiran kucing bunting yang juga haiwan peliharaan saya atas riba ketika masih mengandung," katanya ketika dihubungi.

Katanya, sejak bayi, anak tunggalnya itu selesa bermain dengan kucing.

Katanya, anaknya kini sudah membela hampir 20 kucing yang dikutipnya di jalanan.

"Setiap kali saya bawa Abang Long pergi kedai makan atau taman permainan, pasti kucing akan mendekatinya dahulu walaupun ketika itu terdapat ramai orang di sekeliling.

TikTok budak lima tahun ‘obses’ bela kucing jalanan tarik perhatian warganet
TikTok budak lima tahun ‘obses’ bela kucing jalanan tarik perhatian warganet

"Dia juga akan meronta dan menangis, memujuk saya untuk membenarkan kucing jalanan yang dijumpainya supaya dibawa pulang ke rumah," katanya.

Walaupun begitu, Sue Farahanis berkata, dia sering menasihati anaknya untuk membela kucing yang betul-betul memerlukan perhatian daripada segi kesihatan dan keselamatan.

"Abang Long ini walaupun masih kecil, tapi cepat simpati dengan kucing jalanan yang dijumpainya.

"Oleh itu, saya sering nasihatkannya untuk membela kucing yang sakit atau anak kucing yang tiada ibu atau tiada tuan," katanya yang menetap di Kuala Nerang, Kedah.

Kongsinya, selain 'disukai' kucing, Muhammad Nazril Irham juga disenangi rakan sebayanya di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan turut dilantik menjadi ketua kelas.

"Keluarga saya juga pencinta kucing dan mempunyai keinginan membina rumah kucing untuk membantu serta membela kehidupan kucing jalanan.

"Minat Abang Long dalam memberi makan kepada kucing jalanan juga disokong pengikut saya di media sosial," katanya.

Katanya, Muhammad Nazril Irham juga dikenali di sekitar rumahnya disebabkan hampir setiap hari memberi makanan kepada kucing jalanan sejak 2019.

Terdahulu, perkongsian Sue Farahanis tular di aplikasi TikTok mengenai anak tunggalnya yang begitu obses dengan kucing sehingga meraih lebih 513,000 tontonan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 8:00 AM