Shahrinnahar Latib


“MEMANG kejam individu yang sanggup lakukan perkara sebegini kepada kucing yang saya anggap seperti anak sendiri.

“Tak tahu nak gambarkan perasaan ketika ini dan apa yang saya boleh katakan semoga perbuatan mereka ini mendapat pembalasan sewajarnya,” luah Muhammad Nor Fiqry Zahari, selepas 17 kucing peliharaannya dipercayai mati akibat diracun di rumahya di Lorong Seri Kuantan, Kuantan.

Muhammad Nor Fiqry, 38, atau lebih dikenali sebagai Babah Conan berkata, Selasa lalu, beliau tiada di rumah dan semua pintu serta pagar berkunci manakala 60 kucing dibela berada di dalam rumah.

“Namun, sebaik pulang ke rumah, saya lihat sembilan kucing sedang mengerumuni sesuatu dan apabila saya mendekatinya mendapati ada kepala ayam...saya tidak pernah bagi kucing makan kepala ayam. Saya ambil kepala ayam dan lihat ada cecair seperti bahan kimia.

“Kucing saya tidak makan kepala ayam, mungkin mereka menjilat cecair daripada kepala ayam berkenaan sehingga menyebabkan mereka keracunan dan mati," katanya.

Beliau kemudiannya bergegas membuang kepala ayam berkenaan sebelum memberi kucing minum air kelapa dan membasuh mulut haiwan berkenaan.

Katanya, selepas itu beberapa kucing mula nampak seperti keletihan dan tidak bermaya serta tidak mahu makan.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa sebelum kucing mula mati bermula dengan lima ekor sejak semalam, sebelum beberapa ekor lagi mati sehingga ke hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya 17 ekor,” katanya.

MUHAMMAD Nor Fiqry melihat kucingnya yang masih lemah selepas diracun individu tidak bertanggungjawab ketika ditemui di Lorong Seri Mahkota, Kuantan. Gambar kecil,  kepala ayam disyaki diletakkan racun. FOTO Shahrinnahar Latib
MUHAMMAD Nor Fiqry melihat kucingnya yang masih lemah selepas diracun individu tidak bertanggungjawab ketika ditemui di Lorong Seri Mahkota, Kuantan. Gambar kecil, kepala ayam disyaki diletakkan racun. FOTO Shahrinnahar Latib

Muhammad Nor Fiqry berkata, dia tidak tahu bagaimana kepala ayam berkenaan ada di kawasan ruang tamu rumahnya walaupun pagar dan pintu dikunci dengan rapi.

Katanya, sehingga kini masih terdapat kucing tidak bermaya dan dia terpaksa melepaskan semua kucingnya ke luar rumah bagi membolehkan ia mengambil 'angin' untuk tujuan pemulihan.

“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku sejak saya membela kucing jalanan bermula 2016, sebelum ini mati pun disebabkan penyakit sahaja.

“Setakat ini, saya sudah membela lebih 150 kucing dan kejadian ini menyebabkan saya hampir berputus asa untuk memberi perlindungan kepada kucing jalanan, walaupun sebelum ini pernah merancang untuk membuat taman kucing,” katanya.

Menurutnya, dia sudah lama merancang untuk mewujudkan taman yang membolehkan orang ramai terutama kanak-kanak dapat bermain dengan kucing, namun disebabkan kejadian itu, dia sudah terasa ralat.

“Buat masa ini, saya hanya mahu merawat kucing masih sakit dan tidak akan mengambil kucing baru sama ada dikutip atau diberikan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 4:02 PM