BUSU yang melahirkan anak-anak berbaka campuran.
BUSU yang melahirkan anak-anak berbaka campuran.
Hafiz Ithnin

Bagi doktor ini, memiliki enam kucing terdiri daripada empat baka Domestic Long Hair dan dua Munchkin campuran Domestic Long Hair sememangnya menjadi 'rakan serumah' yang sangat unik.

Malah, penulis sendiri agak terkeliru dengan kepelbagaian baka yang lahir pada 14 Februari lalu daripada ibu yang sama.

Dr Nazril Hayat Nasrudin berkata, kira-kira empat tahun lalu dia hanya mempunyai tiga baka Domestic Long Hair iaitu Kid, Busu dan Abu.

Jelasnya, kemudian Busu iaitu kucing betinanya mengawan dengan baka Munchkin milik jiran. Seterusnya, melahirkan Luna dan Bella yang mempunyai baka Munchkin Domestic Long Hair serta Abby, memiliki baka Domestic Long Hair.

"Sebenarnya Busu melahirkan tujuh anak dan selebihnya saya berikan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memastikan semua kucing itu dijaga dengan baik di rumah.

"Selain itu, saya juga perlu memberi perhatian kepada Kid yang pernah terjatuh sehingga patah kaki. Kini sudah sembuh. Bagaimanapun, saya khuatir jika membela terlalu banyak, saya tidak dapat memberi perhatian terutama dari segi keselamatan semua haiwan berkenaan," katanya.

KID antara kucing terawal dibela Dr Nazril.
KID antara kucing terawal dibela Dr Nazril.

Dr Nazril menambah, keletah tiga anak kucingnya yang kini dalam proses meneroka sememangnya menjadikan keadaan rumahnya begitu ceria.

"Anak-anak kucing ini kalau kita lihat ia sama seperti kanak-kanak baharu pandai berjalan yang aktif dan sentiasa ingin meneroka.

"Walaupun agak aktif, namun menjadi terapi yang baik buat saya ketika berada di rumah kerana melayan kerenah 'budak-budak' ini," katanya.

Katanya, penjagaan semua kucingnya tidak sukar, lebih penting ialah menyediakan makanan yang terbaik dan menyediakan persekitaran bersih.

"Saya memberi makanan palet kering premium dan 'kibble' untuk memastikan mereka mendapat diet makan terbaik.

"Makanan sangat penting bagi memastikan kucing tidak sakit dan mempunyai bulu yang sihat. Jadi, walaupun perlu berbelanja sedikit untuk makanan premium, tetapi hasilnya berpuas hati," katanya yang membelanjakan RM200 hingga RM300 sebulan untuk semua kucingnya.

WARNA sekara Abu menjadikannya unik.
WARNA sekara Abu menjadikannya unik.

Selain itu, Dr Nazril juga perlu mempunyai wang kecemasan untuk membawa kucing-kucingnya ke klinik haiwan sekiranya sakit.

"Perkara ini paling penting kerana sakit atau kemalangan sesuatu yang tidak boleh dijangka. Kos untuk rawatan kucing juga tidak murah.

"Misalnya, ketika Kid terjatuh sehingga patah kaki, saya perlu menghantarnya ke klinik untuk dibedah dan dimasukkan besi dan selepas pulih, prosedur mengeluarkan besi perlu dilakukan pula. Kosnya mencecah RM3,000," katanya.

Tambahnya, antara perkara menarik lain dalam memelihara kucing apabila haiwan itu seakan-akan faham emosi pemiliknya dan dapat memberikan aura positif.

"Jika saya balik dari klinik, sudah tentu penat, tetapi apabila melihat keletah 'anak-anak' saya ini, hilang rasa penat. Rasa ceria wujud secara automatik.

"Selain itu, saya juga perlu mempunyai masa untuk bermanja dengan kucing-kucing ini. Apabila kita selalu bercakap, haiwan ini seolah-olah faham apa yang kita katakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 6:45 AM