AHLI Kelab Kucing Malaysia, Hasnan Bendahara Abul Hamid bersama kucing miliknya yang bernama Flying Rider dari baka Maine Coon.
AHLI Kelab Kucing Malaysia, Hasnan Bendahara Abul Hamid bersama kucing miliknya yang bernama Flying Rider dari baka Maine Coon.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Isu lambakan kucing terbiar atau kucing jalanan di negara ini mungkin dapat diatasi sekiranya masyarakat yang membela haiwan itu tidak bersikap buang kucing apabila mendapati jumlah haiwan itu semakin banyak di rumah.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM), Khalid Rashid berkata, beliau melihat masalah itu isu pertama yang perlu diatasi kerana tindakan itu menyebabkan penderaan terhadap haiwan berkenaan.

“Saya rasa, sekiranya setiap masyarakat hanya membela sepasang kucing dan memandulkannya, masalah kucing jalanan dapat diselesaikan.

“Antara punca peningkatan kucing jalanan ialah ada pihak yang bela kucing ini tidak sanggup membela anak kucing apabila kucing yang dibela itu beranak pinak sehingga sanggup membuangnya di pasar-pasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program tanggungjawab sosial korporat KKM, ‘We KKM Giving Back 2 Society Project, di Sunway Putra Mall, di sini, semalam.

Projek berkenaan turut mendapat kerjasama TGV Cinema dan Sunway Putra Mall selain badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Penolong Haiwan (SPCA) Selangor, Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS dan individu pencinta kucing, Sue Ulik Mayang.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, program sehari itu bertujuan memberi kesedaran mengenai penjagaan, peranan dan tanggungjawab masyarakat terhadap kucing bagi mengelakkan penderaan terhadap lebih banyak kucing jalanan.

“Malah hari ini (semalam) juga, semua NGO terbabit membawa bersama kira-kira 50 kucing jalanan yang diselamatkan dan diberi vaksin untuk diserahkan secara percuma atau bayaran minimum kepada pencinta haiwan yang berminat membelanya.

“Matlamat mereka untuk melihat kucing itu yang dulunya kotor, sakit dan terbiar disayangi pemilik baru selain mendapat perlindungan dan penjagaan yang rapi,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Fairuzia Nur Syaqila Bahasan, 25, berkata, program berkenaan wajar diadakan lebih kerap bagi memupuk kesedaran mendalam terhadap haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW itu.

“Sebagai pemilik kucing, banyak ilmu yang dapat dikongsi dengan peserta pameran pada program sebegini selain produk keperluan yang dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 9:21 AM