MUHAMMAD Firdaus memberi makan kepada kucing yang diselamatkan di rumahnya di Kajang. FOTO Eizairi Shamsudin
MUHAMMAD Firdaus memberi makan kepada kucing yang diselamatkan di rumahnya di Kajang. FOTO Eizairi Shamsudin
Redzuan Muharam


“BANYAK kali juga saya terfikir untuk berhenti, namun tidak sampai hati meneruskan hasrat itu selepas melihat keadaan dan memikirkan nasib kucing peliharaan terutama yang sakit jika dilepaskan begitu saja,” kata penyelamat kucing jalanan, Muhammad Firdaus Fabian Abdullah, 39.

Muhammad Firdaus berkata, kegiatan menyelamat kucing jalanan itu dilakukan sejak 15 tahun lalu dan diteruskan walaupun kini berjalan dengan bantuan tongkat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2015.

Katanya, kebanyakan kucing di bawah jagaannya diselamatkan kerana terbiar di jalanan dalam keadaan sakit dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

“Sebenarnya, saya mempunyai alahan dan dinasihatkan doktor untuk tidak memelihara haiwan berbulu.

“Namun, saya ketepikan semua itu kerana rasa sayang dan pada mulanya, saya hanya memberi makan kepada kucing jalanan sebelum membawa pulang tiga ekor (kucing jalanan) ke rumah untuk dipelihara.

“Lama kelamaan, timbul keinginan untuk terus menyelamatkan kucing yang pada asalnya bertuan, tetapi dibuang ke jalanan hanya kerana mempunyai penyakit.

“Bagi saya, selagi kucing itu bernyawa, saya akan cuba menyelamatkannya tidak hanya di sekitar kawasan perumahan, tetapi juga di luar ibu kota jika menerima maklumat daripada orang awam,” katanya juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Menurut Muhammad Firdaus, dia enggan mengharapkan sumbangan orang ramai semata-semata, sebaliknya mencari wang sendiri dengan mengambil upah menerusi khidmat Pet Taxi iaitu menghantar kucing kepunyaan individu lain ke klinik bagi mendapatkan rawatan atau berpindah ke rumah baru.

Di samping itu, Muhammad Firdaus turut menawarkan perkhidmatan katering secara kecil-kecilan bagi mendapatkan wang untuk menyara hidup dan memastikan keperluan terutama bekalan makanan kucing peliharaannya tidak terputus.

“Buat masa ini, 70 kucing berada di bawah jagaan dan rutin harian saya bermula selepas Subuh dengan membersihkan sangkar sebelum memberi makan serta minum.

“Sebelum tidur, saya akan melakukan perkara sama, selain memberi ubat dan rutin itu berterusan setiap hari.

“Pernah satu ketika saya hilang pekerjaan selepas kemalangan hingga ada RM10 saja di dalam simpanan, tetapi saya gunakan wang yang ada yang ada untuk membeli makanan kerana tidak mahu kucing peliharaan berlapar,” katanya.

Menurut Muhammad Firdaus, meskipun pernah menerima kecaman dan fitnah, dia tetap bertahan kerana mahu terus membela nasib kucing jalanan daripada menjadi mangsa kezaliman individu tidak bertanggungjawab.

Muhammad Firdaus berkata, kepuasannya apabila melihat kucing yang dulunya sakit kembali sihat dan dapat makan serta berjalan dengan sendiri.

“Saya pernah menyelamatkan kucing tanpa telinga, ekor dipotong dan terbaring lemah kerana tidak boleh berjalan.

“Namun, keadaan paling teruk yang saya saksikan adalah melihat kucing disimbah air panas hingga hampir separuh badannya melecur, tetapi keadaannya kini bertambah baik di bawah jagaan kakak angkat saya.

“Sedih melihat kezaliman manusia terhadap haiwan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan saya kini dalam usaha mendidik masyarakat untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

ANTARA kucing yang diselamatkan Muhammad Firdaus. FOTO Eizairi Shamsudin
ANTARA kucing yang diselamatkan Muhammad Firdaus. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:30 AM