PEKERJA kontrak melakukan persiapan untuk PKRC Kota Bharu ke-6 di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, dengan kapasiti maksimum 250 katil double decker yang mampu menempatkan 500 pesakit dalam satu-satu masa, semalam. FOTO BERNAMA
PEKERJA kontrak melakukan persiapan untuk PKRC Kota Bharu ke-6 di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, dengan kapasiti maksimum 250 katil double decker yang mampu menempatkan 500 pesakit dalam satu-satu masa, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bermula dengan hanya tiga kes positif Covid-19 pada 25 Januari 2020, Malaysia kini merekod kes kumulatif 404,925 kes setakat 29 April 2021 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan menghampiri 30 ribu.

Dengan 378 kluster masih aktif dan 83 daripadanya mencetuskan kes baharu, mungkin sukar mengharapkan pandemik koronavirus maut ini dapat dibendung dalam masa yang singkat.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 29 April 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes harian baharu dalam negara kekal di atas paras tiga ribu iaitu 3,332 kes, menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 28,093 kes.

Mengikut pecahan kes baharu mengikut kategori yang dikeluarkan KKM semalam, 60 peratus (1,982 kes) adalah hasil saringan kontak rapat; 25 peratus (832 kes) adalah hasil saringan lain; 11 peratus (383 kes) pula daripada kluster sedia ada dan baki, 4 peratus (126 kes) daripada kluster baharu.

Tiga buah negeri yang menyumbang kes harian baharu terbanyak semalam adalah Selangor (1,083 kes), Sarawak (522 kes) dan Kelantan (401 kes).

Pada Rabu 28 April 2021, kes harian baharu negara melebihi tiga ribu iaitu 3,142 apabila kes harian baharu Selangor meningkat empat angka iaitu 1,019 kes.

Angka kes harian baharu Covid-19 di negara ini pernah mencapai sehingga 5,725 pada 29 Januari 2021 dan 5,728 kes pada 30 Januari 2021 dan pada 31 Januari 2021, sebanyak 5,298.

Pada ketiga-tiga hari yang disebut di atas, Selangor menyumbang jumlah tertinggi (29 Januari - 3,126 kes, 30 Januari - 3,285 kes dan 31 Januari - 2,460 kes).

Dengan 404,925 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 43 (berbanding 44 minggu lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19.

Di hadapan Malaysia adalah Arab Saudi (416,307 kes ) dan Maghribi (510,886 kes).

Lonjakan kes harian baharu sejak beberapa minggu ini membuatkan ada pihak mendakwa Malaysia kini dilanda Gelombang Keempat wabak Covid-19.

Malaysia dilanda Gelombang Ketiga Covid-19 pada 20 September 2020 dan pada tarikh itu, KKM mengumumkan terdapat 52 kes harian baharu, sementara jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 734 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan di bawah Gelombang Ketiga memuncak melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894. Sepanjang tempoh Gelombang Ketiga ini, kes harian baharu pernah menurun kepada tiga angka hanya sehari iaitu pada 29 Mac, sebanyak 941 kes.

Kes harian baharu dalam negara secara konsisten berada pada paras lebih dua ribu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (24 April hingga 29 April 2021) dan melonjak melepasi tiga ribu pada Rabu 28 April iaitu 3,142 kes dan semalam (29 April), sebanyak 3,332 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 3,332 kes yang direkod kelmarin, sebanyak 3,323 kes melibatkan penularan tempatan ( 3,099 warganegara - 93.3 peratus; 224 bukan warganegara - 6.7 peratus). Baki sembilan kes adalah kes import (1 warganegara dan 8 bukan warganegara).

Gelombang Ketiga melanda Malaysia pada 20 Sept 2020 dan KKM mengumumkan pada tarikh berkenaan, terdapat 52 kes harian baharu, jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 10,219 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan, 734 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan di bawah Gelombang Ketiga memuncak melepasi angka 50,000 pada 6 Februari 2021 iaitu 50,894.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (24 April hingga 29 April 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehingga Khamis 29 April 2021, Malaysia mencatat 1,638 kluster dan 1,260 diisytihar tamat. Sebanyak 378 kluster masih aktif dan 83 daripadanya dilaporkan menambah kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster DTI Lenggeng (43 kes), Kluster Raub Jaya (38 kes), dan Kluster Jalan Adika Raja (33 kes).

Sebanyak 12 kluster baharu diumum semalam melibatkan empat (4) kluster komuniti, masing-masing tiga (3) kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kluster tempat kerja, serta dua (2) kluster keagamaan.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 24 April hingga 29 April 2021:-

• Sabtu 24 April - 10 (7 KTK)

• Ahad 25 April - 8 (3 KTK)

• Isnin 26 April - 12 (4 KTK)

• Selasa 27 April - 11 (3 KTK)

• Rabu 28 April - 12 (2 KTK)

• Khamis 29 April - 12 (3 KTK)

Satu kes KTK dilaporkan di Sarawak pada 25 April iaitu Kluster Putai, melibatkan daerah Kapit dan Bukit Mabong, hasil saringan bersasar pekerja sebuah empangan di Putai, Kapit. Sehingga 25 April, sebanyak 243 kes positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 7:30 AM