Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 35 kluster baharu yang dilaporkan di Kelantan, Sarawak, Perak, Sabah, Selangor, Terengganu, Johor, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 35 kluster yang dikenal pasti, 20 daripadanya adalah kluster komuniti, manakala 14 lagi kluster tempat kerja dan satu lagi kluster berkaitan keagamaan.

"Daripada 35 kluster yang dilaporkan, 13 daripadanya di Kelantan, Selangor (7), Perak (5), Sarawak (4), Johor (2) dan masing-masing satu kes di Melaka, Kuala Lumpur, Sabah dan Terengganu.

"Sebanyak 3,796 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,635 kluster dilaporkan tamat, manakala 1,161 kluster lagi masih aktif setakat hari ini," katanya dalam kenyataannya.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia sehingga semalam adalah sebanyak 1.07.

"Negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi adalah Kelantan dengan 1.31 diikuti Terengganu (1.27) dan Perak (1.24).

"Selain itu, negeri lain yang turut mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0 adalah Sabah (1.17), Pulau Pinang (1.17), Kedah (1.16), Johor (1.14), Pahang (1.14), Kuala Lumpur (1.12), Putrajaya (1.11), Melaka (1.08), Sarawak (1.08) dan Selangor (1.06)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:18 PM