SEPIAH menunjukkan gambar arwah Juhairohafizan yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
SEPIAH menunjukkan gambar arwah Juhairohafizan yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: "Sepatutnya semalam dia pulang ke rumah selepas tiga minggu kami tidak berjumpa. Saya tidak menyangka dia pergi buat selama-lamanya," kata Sepiah Salleh, 60, ibu kepada mangsa lemas, Juhairohafizan Juhari, 35.

Mayat Juhairohafizan ditemukan jam 2.50 pagi tadi selepas dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, semalam.

Sepiah berkata, anak ketiga daripada 11 beradik itu ada memberitahu ingin balik berjumpanya selepas lama tidak pulang kerana sibuk menguruskan ternakan dan ladang timun.

"Namun petang semalam, saya menerima panggilan daripada besan yang juga ibu mentua Juhairohafizan, memberitahu anak lemas. Luluh hati saya ketika mendengar khabar ini kerana tidak menyangka kehilangannya sekelip mata.

"Setahu saya, dia memang pandai berenang malah selalu juga turun ke laut berseorangan untuk memukat dan mencari ikan, lagipun dia adalah pesara tentera yang mahir berenang.

"Saya ke lokasi kejadian yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah arwah, dan menunggu agensi keselamatan mencari jasadnya sehinggalah dia ditemui," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, hari ini.

Media melaporkan kanak-kanak yang cuba diselamatkan Juhairohafizan, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemukan selamat pada jam 11 malam, pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

Selain Juhairohafizan, seorang lagi lelaki, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, turut ditemui lemas ketika turut sama menyelamatkan Muhammad Aman Firas.

Sepiah yang ditemui masih terkejut dengan kejadian itu turut berkongsi tentang sikap Juhairohafizan yang suka bergurau dan sangat baik.

"Saya pasti merindui gelagat arwah yang suka menyakat adik beradik yang lain, namun reda dengan pemergian arwah selain berharap isteri dan anaknya yang berusia 11 tahun tabah menghadapi dugaan ini.

"Insya-Allah, jika selesai semuanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dangar Tinggi, Bachok, selepas Zuhur hari ini," katanya

Berita berkaitan

Pesara tentera lemas, budak lelaki selamat

Seorang lemas, dua masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 11:27 AM