MUHAMMAD Aman Firas ditemui selamat pada jam 11 malam dalam jarak 300 meter selepas lebih lima jam terapung di laut di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, malam tadi.
MUHAMMAD Aman Firas ditemui selamat pada jam 11 malam dalam jarak 300 meter selepas lebih lima jam terapung di laut di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, malam tadi.
Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: "Allah selamatkan anak saya. Memang satu keajaiban kerana anak ditemui selamat walaupun tidak pandai berenang, namun terapung di tengah lautan lebih lima jam.

"Saya berasa kerdil dengan kuasa Allah SWT kerana anak ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan," kata, Nik Nor Asyikin Nik Abdullah Sani, 36, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.

Nik Nor Asyikin iaitu ibu kepada Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang ditemui selamat pada jam 11 malam dalam jarak 300 meter selepas lebih lima jam terapung di laut di Pantai Kandis Pulau Kambing, di sini, malam tadi.

Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu kini mendapatkan rawatan di wad lelaki Hospital Tengku Anis.

NIK Nor Asyikin. FOTO Hidayatidayu Razali
NIK Nor Asyikin. FOTO Hidayatidayu Razali

Katanya, anaknya mengalami masalah pembelajaran dan sangat suka kepada air serta sering mandi kolam angin di rumahnya.

"Anak saya pantang tengok air, namun pada musim ini saya tidak membawa anak mandi pantai kerana bimbang dengan keadaan ombak yang besar dan merbahaya.

"Namun, semalam saya berada di rumah ayah di Beris Lalang kerana ada kenduri perkahwinan anak saudara, manakala anak tinggal di rumah bersama ayahnya," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian selepas suami, Aman Syah Musa, 38, menghubungi memaklumkan anak lemas di pantai sebelum dia bergegas ke lokasi.

Nik Nor Asyikin berkata, tidak dapat digambarkan perasaan selepas mengetahui anak hilang dan dia hanya mampu berdoa serta melakukan solat hajat supaya anaknya ditemui dalam apa jua keadaan.

Katanya, dia juga membawa kain batik lepas ke lokasi kejadian untuk menutup jasad anaknya jika ditemui lemas.

"Namun, saya bersyukur kerana anak ditemui selamat, tetapi sedih kerana jiran, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, dan seorang lagi lelaki, Juhairohafizan Juhari, 35, yang mahu membantu menyelamatkan anak ditemui lemas.

"Saya turut memaklumkan kepada anak bahawa jiran kami yang juga ayah rakannya lemas. Anak juga tahu seorang lagi lelaki yang tidak dikenali cuba membantunya turut lemas. Dia nampak sedih apabila mengetahui kejadian yang berlaku.

"Ketika terapung di permukaan air, anak memberitahu dia bagai berada di kayangan dan turut melihat cahaya lampu yang terang.

"Anak juga kata hanya hidungnya berasa pedih kemungkinan dimasuki air laut dan hanya teringat ibu (saya) dan ayahnya saja," katanya yang berterima kasih kepada semua yang berusaha mencari dan menyelamat anaknya.

Menurutnya, anaknya itu sangat rapat dengan Allahyarham Mohd Bahudin yang sering membawanya keluar berjalan-jalan memandangkan jirannya itu turut mempunyai anak yang mengalami masalah pembelajaran.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Aman Firas dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemukan selamat pada jam 11 malam, pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

Dua lagi mangsa, Mohd Bahudin Mat Shah, 46, ditemukan lemas jam 6.50 petang dan seorang pesara askar, Juhairohafizan Juhari, 35, ditemukan jam 2.50 pagi, ketika cuba menyelamatkan Muhammad Aman Firas.

Berita berkaitan

Khabar duka buat ibu

Pesara tentera lemas, budak lelaki selamat

Seorang lemas, dua masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 1:46 PM