SULTAN Mizan Zainal Abidin (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Sepiah. FOTO Rozainah Zakaria
SULTAN Mizan Zainal Abidin (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Sepiah. FOTO Rozainah Zakaria
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa pada 1998, Sepiah Mohamad, 65, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1437 bagi peringkat Terengganu.

Dengan pemilihan itu, ibu kepada lima anak itu membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM10,000, sepersalinan pakaian, piala iringan dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.

Pengiktirafan itu diterima atas sumbangannya mengharumkan nama negeri dengan merangkul tiga anugerah utama Pertandingan Tilawah Al-Quran di peringkat negeri dan antarabangsa.

Sepiah yang ditemui selepas majlis berkenaan melahirkan rasa terharu apabila diberi penghormatan sedemikian dan bertekad akan terus berkongsi ilmu yang ada dengan generasi akan datang.

"Saya akan terus mencurahkan ilmu yang ada kerana ia tanggungjawab saya kepada generasi muda," katanya yang berasal dari Kampung Nasi Dingin Hulu Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 2:48 PM