Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 merekodkan sedikit penurunan dengan 1,275 kes dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 339,443 kes dan satu kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 32 kes import dilaporkan, manakala 1,243 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 478 kes diikuti Sarawak (167 kes) dan Pulau Pinang (140 kes).

"Sebanyak 22 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) membabitkan Kluster DTI Jalan Duta (13 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes) dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 161 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 70 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,509 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 323,925 kes atau 95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat hanya satu kematian dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,249 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 6:33 PM