GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan berbanding semalam dengan 5,298 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 214,959 kes dengan jumlah kes aktif 48,150 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes import dilaporkan, manakala 5,295 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,460 kes diikuti Johor (1,020 kes) dan Kuala Lumpur (783 kes).

"Sebanyak 94 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (38 kes), Kluster DTI Sepang 2 (18 kes), Kluster Tembok Renggam (16 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Penjara Sungai Jelok (2 kes) dan Kluster Tembok Kemus (1 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 313 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 127 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 4,522 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 166,049 kes atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 14 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan 12 kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sarawak serta Kuala Lumpur.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 760 kes atau 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:30 PM