MICHAEL serasi bekerja dengan Janna Nick.
MICHAEL serasi bekerja dengan Janna Nick.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


DRAMA terbaharu Marry Me Senorita yang kini ditayangkan di saluran Astro Ria menerima pelbagai maklum balas daripada netizen di laman sosial.

Selain komen positif mengenai gandingan serasi Janna Nick dan Dini Schatzmann, tidak kurang juga yang meluahkan rasa hairan dengan pemilihan heroin drama terbabit.

Menerusi komen yang ditinggalkan seorang pengikut di Instagram pengarah Michael Ang, ada yang bertanyakan mengenai pemilihan Janna yang dikatakan sering menghiasi drama arahan pengarah itu.

Menjawab persoalan pengikutnya, Michael berkata, kali terakhir dia bekerjasama dengan Janna adalah pada 2018 menerusi drama My Coffee Prince.

"Tiada istilah saya kerap menawarkan watak kepadanya. Memang dah lama tak bekerja dengan Janna sebab kekangan jadual selain tiada watak yang sesuai untuknya," katanya.

Michael mengakui, dia selesa bekerja dengan pelakon itu sekali gus menawarkan watak heroin dalam drama Marry Me Senorita.

"Saya selesa bekerja dengan sesiapa saja. Kalau ada pelakon yang saya tak selesa bekerja dengannya, memang saya tak tawarkan sebarang watak.

"Buat apa saya nak menyusahkan hidup bekerja dengan orang yang saya tak selesa. Selalunya pelakon yang saya ambil memang yang sudah selesa atau pernah bekerjasama dengan saya," katanya.

Menurut Michael, tiada istilah berat sebelah atau pilih kasih sebaliknya setiap keputusan untuk pemilihan pelakon turut melalui perbincangan dengan pihak stesen televisyen.

"Saya suka tawarkan watak yang berbeza kepada pelakon yang pernah saya bekerjasama. Kali ini Janna bawa watak wanita lembut berbanding watak-watak yang pernah dia jayakan sebelum ini.

"Kadang-kadang pemilihan pelakon bukan di tangan saya seorang, sebaliknya pihak stesen televisyen juga ada nama-nama yang mereka mahu.

"Jadi, kami selalu berbincang untuk membuat pilihan yang terbaik. Kalau ada pandangan yang bercanggah kami akan pastikan pilihan yang dibuat adalah tepat.

JANNA Nick dan Dini Schatzmann, teraju utama Marry Me Senorita.
JANNA Nick dan Dini Schatzmann, teraju utama Marry Me Senorita.

"Tiada istilah tawar watak kepada pelakon yang memang saya rapat saja. Tapi mungkin ada seperti pelakon Sharifah Sahora. Dia selalu ada dalam setiap drama saya kerana saya perlukan kawan yang boleh hiburkan hati di lokasi penggambaran," katanya.

Ditanya mengenai persaingan drama arahannya itu dengan drama Takdir Yang Tertulis yang ditayangkan pada waktu sama di TV3, Michael berkata, dia sendiri menonton karya arahan Shahrulezad Mohameddin itu.

Michael berkata, tiada istilah bersaing kerana dua drama ini adalah dua genre yang berbeza dan penonton memiliki selera tersendiri.

"Saya juga menonton drama itu. Ia memang 'best'. Bagi saya, dua drama ini memiliki genre yang berbeza, jadi tiada istilah bersaing dan tak perlulah nak bersaing sebab semua orang akan tonton juga dua drama ini. Bezanya mungkin penonton akan tonton drama yang mereka suka dulu, kemudian diikuti dengan drama kedua yang sudah dirakam atau tonton di platform lain.

"Tiada istilah siapa menang atau bersaing. Tambahan negara sekarang sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semua orang duduk rumah menonton televisyen.

"Sekarang ini apa saja drama yang ditayangkan akan meletup sebab masing-masing tak boleh nak buat apa, jadi duduk rumah dan tonton drama saja," katanya.

Selain Janna dan Dini, Marry Me Senorita turut dibintangi oleh Shaza Bae, Datuk Jalaluddin Hassan, Yasmin Hani, Datin Fadilah Mansor, Raja Azura dan Daler Yusuf.

Ia ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam menerusi slot Megadrama saluran Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 5:46 PM