Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Tiga anak arwah ibu tunggal berusia 42 tahun yang meninggal dunia akibat barah hati Khamis lalu, kini tinggal bersama bapa mereka.

"Tiga beradik itu kini tinggal bersama bapa mereka di Klang, Selangor," kata Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhammad Rafieudin Zainal Rasid ketika dihubungi hari ini.

Menurut Muhammad Rafieudin, bapa mereka membawa tiga anaknya itu ke Klang selepas selesai pengebumian jenazah arwah kelmarin.

"Keadaan anak-anak (tiga beradik) buat masa ini, semasa saya bersama mereka semalam, Alhamdulillah berada dalam keadaan sihat," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Rafieudin berkata, anak bongsu arwah masih berada dalam keadaan terkejut dan banyak menangis.

"Kanak-kanak itu lebih suka bersendirian selepas mengetahui ibunya meninggal dunia," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menemani ibunya sehingga ke akhir hayat tanpa mengetahui yang ibunya sudah meninggal dunia.

Jenazah ibu kepada tujuh anak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara di sini.

Arwah sebelum ini tinggal bersama tiga anak berusia lapan tahun, 16, dan 20 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara.

Manakala empat lagi anak mereka tinggal bersama bekas suami di Klang.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 3:30 PM