GAMBAR kenangan Aidilfitri tahun lalu Mohd Haszlee (duduk, kanan) bersama ibu (duduk di belakangnya) dan arwah ayahnya (duduk, tengah). FOTO Ihsan keluarga.
GAMBAR kenangan Aidilfitri tahun lalu Mohd Haszlee (duduk, kanan) bersama ibu (duduk di belakangnya) dan arwah ayahnya (duduk, tengah). FOTO Ihsan keluarga.
Zatul Iffah Zolkiply


DISEBABKAN terlalu sayangkan ibu dan anak perempuan tunggalnya, Allahyarham Mohd Haszlee Hashim dikatakan menyimpan separuh daripadanya gajinya sebagai pengawal keselamatan untuk kegunaan mereka.

Malah, Mohd Haszlee, 30, yang ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang pada Isnin, selepas berjalan dari Segamat, Johor juga tidak biasa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Kuala Terengganu.

Perkara itu diceritakan sendiri keluarga Allahyarham kepada Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

Menurut Rafieudin, arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik mula bekerja di Segamat sejak hujung 2019 namun, dia menghantar surat berhenti kerja pada Januari kerana mahu mencari pekerjaan lain di Kuala Terengganu.

"Kakak arwah memaklumkan ketika Allahyarham mahu mencari kerja baharu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula dilaksanakan. Dia memberitahu mahu pulang ke Kuala Terengganu kerana merindui anaknya berusia tujuh tahun dan keluarganya.

"Arwah juga meminta kakaknya mengambilnya di Segamat, Johor kerana tidak mempunyai kenderaan selain pengangkutan awam juga tidak beroperasi.

"Dalam tempoh itu arwah beritahu terlalu rindukan anaknya dan dia nekad berjalan bermula pagi Jumaat lalu. Sebelum bergerak, arwah turut menghubungi ibunya memaklumkan mahu berjalan pulang tetapi wanita itu melarang kerana risaukan keselamatannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Allahyarham dikatakan nekad berjalan dan kali terakhir dia menghubungi ibunya pada malam Sabtu lalu dan memaklumkan sudah berada di Kuantan.

"Namun, difahamkan, arwah mungkin berpatah balik tetapi ahli keluarganya gagal menghubungi arwah pada Ahad lalu dan meminta bantuan polis mengesan arwah.

"Mayat arwah ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, Pahang pada Isnin dan ahli keluarga mangsa mengesahkan identiti arwah melalui gambar yang dihantar polis kepada keluarga mangsa di Kuala Terengganu menggunakan telefon bimbit mangsa," katanya.

Muhammad Rafieudin berkata, arwah terlalu sayangkan ibu dan anak perempuan tunggalnya menyebabkan dia mengambil tindakan nekad dan separuh wang gajinya disimpan untuk mereka.

"Memang sebak mendengar cerita daripada ahli keluarga mangsa dan mereka mewakilkan saya kerana tidak bersedia (bercerita) memandangkan arwah pergi secara tiba-tiba," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tragisnya...
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:51 PM