Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 dalam negara mencatatkan1,937 kes baharu dan sembilan kematian baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 82,246 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 13,751 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 911 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 68,084 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara pula adalah 1,935 kes.

"Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 823 kes (42.5 peratus), 714 kes (86.8 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ia diikuti oleh Sabah sebanyak 429 kes (22.1 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 238 kes (12.3 peratus).

"Sebanyak 725 kes (37.4 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (565 kes), Kluster Rumah Merah (112 kes), Kluster Tembok (43 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes kematian pula adalah sebanyak 411 kes atau 0.50 peratus dengan sembilan kematian yang dilaporkan hari ini.

"Sehingga kini, terdapat 121 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 66 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:30 PM