DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 di negara hari ini mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,335 kes dan dua kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 103,900 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 20,035 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 874 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 83,414 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2.324 kes.

"Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 728 kes (31.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 677 kes (93.0 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 710 kes (30.4 peratus) dan Johor sebanyak 412 kes (17.6 peratus).

"Sebanyak 308 kes (13.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (156 kes), Kluster Pagar Siput (128 kes), Kluster Tembok (lapan kes), Kluster Penjara Sandakan (tujuh kes), Kluster Pagar Bentong (empat kes), Kluster Tembok Gajah (dua kes), Kluster GK Tawau (satu kes), Kluster Penjara Kepayan (satu kes), dan Kluster Kolam Air (satu kes),"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 451 kes atau 0.43 peratus.

"Sehingga kini, terdapat 108 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 6:51 PM