Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jangkitan Covid-19 dalam negara mencatatkan 1,229 kes baharu dan empat kematian baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 83,475 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 13,667 kes.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,309 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih pula adalah 69,393 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara pula adalah 1,227 kes.

"Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 435 kes (35.4 peratus) dengan 344 kes atau 79.1 peratus adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ia diikuti oleh Sabah dengan 333 kes (27.1 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 131 kes (10.7 peratus).

"Sebanyak 200 kes (16.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di pusat tahanan sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan membabitkan Kluster Tembok (103 kes), Kluster Rumah Merah (78 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (12 kes), Kluster Bakti (3 kes), masing-masing satu kes untuk Kluster Penjara Kepayan, Kluster PTS Sibuga, Kluster Matambai dan Kluster Penjara Seberang Perai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes kematian pula adalah sebanyak 415 kes atau 0.50 peratus daripada jumlah keseluruhan selepas empat kematian yang dilaporkan hari ini.

"Sehingga kini, terdapat 115 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 65 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 7:18 PM