DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,309 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 64,485 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 1,308 kes membabitkan kes tempatan manakala satu kes import.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan kepada 11,481 kes.

"Kuala Lumpur melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 493 kes (37.7 peratus) yang mana 473 kes (95.9 peratus) adalah daripada kluster di tempat kerja (tapak pembinaan).

"Sabah pula sebanyak 290 kes (22.2 peratus) dan Selangor sebanyak 238 kes (18.2 peratus).

"Sebanyak 75 kes (5.7 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster Tembok (38 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (13 kes), Kluster PTS Tawau (empat kes), Kluster Penjara Reman (tiga kes), Kluster GK Tawau (dua kes), dan Kluster Penjara Sandakan (satu kes)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes sembuh dicatatkan hari ini ialah 1,333 kes menjadikan jumlah kumulatif 52,647 kes atau 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Tiga kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian 357 daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sebanyak 116 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 42 kes memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:27 PM