Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kes jangkitan baharu Covid-19 masih membimbangkan apabila terus mencatatkan empat angka iaitu sebanyak 2,451 kes dilaporkan hari ini dengan lima kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 133,559 kes dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 26,185 kes.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,401 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 106,832 kes.

"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 2,446 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 564 kes (23.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 342 kes (60.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 409 kes (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes (14.3 peratus).

"Sebanyak 327 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kematian hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 542 kes.

"Sehingga kini, terdapat 177 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM turut mengesan lima kluster baharu hari ini iaitu Kluster Mikro, Kluster Symphony Magazine, Kluster Pasai, Kluster Teknologi Kesidang dan Kluster Palut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 7:05 PM