IZZAT yang memulakan perlumbaan di petak pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba lain untuk memintasnya. FOTO Ihsan Cub Prix
IZZAT yang memulakan perlumbaan di petak pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba lain untuk memintasnya. FOTO Ihsan Cub Prix
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Md Izzat Zaidi Md Salehan melakar kemenangan untuk pasukannya, Petronas Spinta Yamaha–CKJ Racing di pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix Malaysia dekat Litar Jempol, hari ini.

Pelumba CP150 yang berasal dari Selangor itu mencatatkan masa terpantas di sesi perlumbaan akhir apabila dia melengkapkan kesemua 20 pusingan dengan kelajuan yang konsisten sepanjang perlumbaan.

Izzat yang memulakan perlumbaan di petak pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba lain untuk memintasnya dan mempertahankan kedudukan itu sepanjang perlumbaan.

Pada sesi kelayakan semalam, Izzat mencatatkan masa kedua terpantas dengan catatan masa 44.310s manakala bagi sesi Super Pole, dia mencatatkan masa terpantas, 44.023s. Bagi perlumbaan akhir, Izzat menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14'48:244s.

"Saya berasa amat gembira kerana akhirnya berjaya mendapat podium pertama. Bagi saya, perlumbaan ini berjalan dengan agak lancar.

"Afif (Ahmad Afif Amran) banyak membantu dalam perlumbaan kali ini dan saya amat berterima kasih kepadanya dan pasukan saya untuk kemenangan ini," katanya.

Tempat kedua menjadi milik Azroy Anuar Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu dengan catatan masa 14'50:015s manakala Afif meraih podium ketiga dengan catatan masa 14'51:180s.

Bagi kategori CP125 pula, Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing menguasai litar Jempol sekali gus meraih kemenangan pertamanya.

Shafiq yang memulakan perlumbaan di petak kedua, meraih kedudukan pertama di pusingan pertama dan meneruskan perlumbaan secara konsisten sepanjang 15 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 7:23 PM