AARON bersama sebahagian pokok jualannya. FOTO AGENSI
AARON bersama sebahagian pokok jualannya. FOTO AGENSI
Agensi

Los Angeles: Siapa sangka dengan hanya menjual pokok, kanak-kanak lapan tahun di California ini mampu mengubah nasib keluarganya kepada kehidupan lebih selesa.

Pada awal krisis pandemik Covid-19, keluarga Aaron Moreno bergelut dengan masalah kewangan teruk dan hanya mempunyai baki wang AS$12 (RM49) saja.

Lebih menyedihkan Aaron bersama ibu dan dua lagi adik beradiknya hanya tinggal di sebuah stor gudang di Timur Los Angeles.

Demi mengubah nasib keluarganya itu, Aaron mula menjual pokok secara kecil-kecilan pada Jun lalu.

Bermula hanya dengan lapan pokok, perniagaan Aaron semakin maju dan kini dia mampu tersenyum menuai hasilnya.

GoFundMe, badan yang menyokong kanak-kanak itu selama ini mendedahkan pada Oktober lalu, Aaron berjaya membelikan ibunya sebuah kereta sebelum empat beranak itu berpindah ke apartmen lebih selesa bulan ini.

Malah, dengan wang dimiliki itu dia juga dapat menyatukan kembali kakak sulungnya, Ayleen Pacheco yang menetap bersama nenek mereka di Mexico akibat masalah kewangan mereka dulu.

"Saya rasa sangat gembira kerana tidak perlu bersusah payah lagi macam sebelum ini," kata Aaron kepada KABC.

Sementara itu, ibunya, Berenice Pacheco tidak percaya keperitan yang mereka lalui dulu sudah berakhir.

"Saya tak pernah sangka kami mampu pergi sejauh ini dan tak percaya dapat sebuah rumah.

"Saya mengagumi Aaron untuk segala usahanya yang saya sebagai seorang ibu tidak mampu lakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:30 AM