LIBBY Adame (kiri) dan Alicia Galaz sebabkan kematian seorang wanita. FOTO LAPD
LIBBY Adame (kiri) dan Alicia Galaz sebabkan kematian seorang wanita. FOTO LAPD
Agensi

New York: Dua beranak didakwa menyamar sebagai pakar pembedahan plastik dan menyebabkan kematian seorang wanita yang bercita-cita menjadi pelakon filem lucah.

Ia selepas pasangan ibu dan anak itu menjalankan prosedur membesarkan punggung terhadap mangsa, Karissa Rajpaul, 26.

Daily Beast melaporkan, Libby Adame, 51, dan Alicia Galaz, 23, ditangkap pada 5 Ogos lalu di Riverside, California.

Mereka disyaki terbabit dengan kematian Rajpaul yang meninggal dunia di hospital tempatan, akibat komplikasi beberapa jam selepas menjalani prosedur tidak sah itu.

Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan kepada agensi media tempatan, kedua-dua wanita itu berpakaian sebagai pakar semasa menjalankan prosedur pada 15 Oktober 2019 itu.

Mereka juga mungkin pernah mengendalikan rawatan serupa terhadap beberapa mangsa lain.

"Suspek tidak pernah menjalani latihan perubatan. Mereka tiada berpengalaman dan membahayakan nyawa orang.

"Selepas Rajpaul mengalami komplikasi akibat pembedahan, mangsa dipercayai sempat menghubungi talian 911 sebelum meninggal dunia.

"Mereka mengambil wang tunai mangsa dan kami tahu dalam beberapa kejadian, ia mengakibatkan pembunuhan," kata Timbalan Ketua Jabatan Polis Daerah Los Angeles (LAPD), Alan Hamilton kepada KABC.

Pejabat LAPD memutuskan pelakon wanita itu mati dibunuh kerana kegagalan fungsi kardiopulmonari akut dan kesan suntikan silikon intramuskular serta intravaskular, lapor CBS LA.

Siasatan mendapati suspek menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan membesarkan punggung yang lebih murah kosnya berbanding di tempat lain.

Penyiasat memberitahu KABC, dua beranak itu menyuntik Rajpaul dengan koktel bahan digunakan oleh doktor kosmetik berkelayakan sebagai tambahan kepada bahan kimia berbahaya lain.

"Mereka mencampurkannya dengan bahan kimia dan kandungan lain yang jelas tidak sesuai untuk prosedur perubatan dilakukan pada manusia," kata Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 6:30 AM