TEMUR dan isterinya bersama unta mereka. FOTO AGENSI
TEMUR dan isterinya bersama unta mereka. FOTO AGENSI
Agensi

BEIJING: Seekor unta menempuh padang pasir sejauh 100 kilometer di China semata-mata 'rindukan' tuan lamanya selepas lapan bulan dijual kepada pemilik baharu.

Unta itu yang cedera dilaporkan merentas padang pasir, pergunungan dan pagar lebuh raya sepanjang wilayah autonomi Inner Mongolia, di utara China awal bulan ini.

Seorang pengembala menemui haiwan berkenaan dan memutuskan untuk menjaga unta terbabit.

Pemilik lamanya bernama Temur kemudian mengetahui perkara itu dan mahu mengambil untanya kembali.

Oddity Central melaporkan Temur dan isterinya memutuskan untuk menjual haiwan itu kepada seorang lelaki, pada Oktober tahun lalu.

Pemilik baharu itu membawa haiwan berkenaan ke kampung halamannya.

Bagaimanapun, pada 27 Jun lalu, haiwan itu melarikan diri pada hari pertama musim panas.

Menurut isteri Temur, sebaik menerima berita penemuan unta itu, mereka memutuskan untuk kembali memelihara haiwan itu.

Namun, pemilik baharu sudah mengambil semula unta itu daripada pengembala berkenaan.

"Kami menghubungi pembeli itu dan menawarkan anak unta betina berusia tiga tahun sebagai ganti dan lelaki itu bersetuju dengan tawaran kami.

"Amat meruntun hati apabila kami nampak banyak kecederaan pada badannya.

"Kami tidak akan menjualnya lagi kepada sesiapa kerana unta ini sangat bijak," katanya.

Kisah unta terbabit turut mencuri hati jutaan rakyat China yang kagum dengan kesetiaan haiwan itu.

Setakat Rabu lalu, video yang menyiarkan dokumentari kisah perjalanan unta itu untuk kembali kepada bekas pemiliknya sudah ditonton 16 juta kali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 7:00 AM