Sekumpulan unta mengganas menyebabkan penduduk tempatan bimbang untuk keluar rumah. FOTO Agensi
Sekumpulan unta mengganas menyebabkan penduduk tempatan bimbang untuk keluar rumah. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Sekumpulan unta mengganas menyebabkan penduduk tempatan bimbang untuk keluar rumah atau membiarkan anak mereka bermain di luar.

Penduduk Oranzherei, Fyodorovka, dan Ninovka bimbang selepas pemilik, Yuri Serebryakov, 83, melepaskan 80 ekor untanya yang menimbulkan kekacauan di wilayah itu.

Haiwan itu dilaporkan melanggar paip, pagar, batu nisan dan kebun menyebabkan kerosakkan serta mengejar penduduk kampung, lapor New York Post.

Pada mulanya, penduduk kampung membangkitkan masalah itu di media sosial dan dengan mengirim surat kepada pihak berkuasa tempatan.

Kemudian mereka mengajukan keluhan kepada pendakwa raya daerah dengan harapan dapat mengakhiri kemelut yang membelenggu mereka.

Pejabat pendakwa wilayah Astrakhan mengesahkan pihaknya menerima rayuan kolektif daripada penduduk tetapi mengatakan maklumat itu perlu disahkan sebelum tindakan dapat diambil.

Valentina Malikova dari Fyodorovka memberitahu dia terpaksa menjaga pokok pir pada waktu malam supaya tidak dimakan oleh binatang itu.

"Ketika ini terdapat 57 ekor mengganggu penduduk, saya tidak tahu bila ini akan berhenti," katanya.

Seorang penduduk lain berkata, binatang itu mengejar penduduk menyebabkan mereka ketakutan dan melarikan diri.

Walaupun sudah menjaga unta selama 25 tahun, Serebryakov memutuskan untuk membiarkan kawanan itu bebas berkeliaran selepas menyedari usia semakin lanjut untuk menjaga mereka.

Pesara itu berharap dapat menjualnya dan ada juga menyarankan supaya dia menyerahkannya ke zoo secara percuma.

"Tidak, saya tidak akan memberikan kepada mereka. Sudah terlambat untuk itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 2:26 PM