Riyadh: Arab Saudi menyaksikan perjanjian sewa unta dengan nilai terbesar apabila seorang lelaki tempatan memajak untanya dengan harga 20 juta Saudi Riyal (kira-kira RM22.44 juta).
Apa yang mengejutkan, sewa itu hanya untuk tempoh 48 jam.
Gulf News melaporkan, Pengerusi Lembaga Pengarah Kelab Unta di Arab Saudi, Fahd Falah Hithleen, berkongsi klip video yang mendokumentasikan perjanjian sewa itu.
"Hari ini adalah hari bersejarah dalam dunia unta.
"Perjanjian sewa unta terbesar itu ditandatangani oleh pemilik unta Abdullah Odeh dan Abdullah Al Dabbous dengan harga 20 juta Saudi Riyal," ciap Fahd di Twitter.
Dalam wawancara TV, Fahd berkata, pertandingan serantau akan diadakan tidak lama lagi, dan harga (unta) akan meningkat.
Beliau menambah, unta tidak akan mempunyai pengaruh ekonomi melainkan kita 'memperlakukannya' seperti kanak-kanak.
"Kita mesti mengubah cara kita melihat unta, dan saya harap semua pemilik akan mengikuti contoh Abdullah Odeh," katanya.
Sebelum ini, pegawai Arab Saudi melarang lebih 40 unta daripada menyertai Festival Unta Raja Abdulaziz Keenam.
Tahun ini, berpuluh-puluh penternak didapati menggunakan hormon untuk mencantikkan bibir dan hidung unta.
Botox digunakan bagi membesarkan kepala dan bibir, manakala suntikan 'filler' untuk 'melicinkan' muka haiwan itu.
Pada 2018, 12 peserta hilang kelayakan daripada menyertai pertandingan kerana pemiliknya menggunakan Botox pada unta.