LAMPU isyarat mengelak kesesakan unta. FOTO China Daily
LAMPU isyarat mengelak kesesakan unta. FOTO China Daily
Agensi

Beijing: Lampu isyarat khas dipasang bagi mengurangkan kesesakan unta di kawasan gurun yang popular di China.

Belasan lampu isyarat itu dipasang di kawasan Gunung Mingsha dan Yueya Spring, yang dikelilingi gumuk pasir, di wilayah Gansu.

Paparan lampu 'unta merah' menandakan haiwan itu perlu berhenti, manakala 'unta hijau' menandakan ia boleh meneruskan perjalanan.

Lampu isyarat unik itu yang pada asalnya direka untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di padang pasir, mendapat perhatian media secara meluas pada tahun ini dan menjadi tarikan pelancongan yang popular.

Timbalan pengurus besar syarikat yang bertanggungjawab untuk operasi tarikan pelancongan itu, Wang Youxia berkata, lebih 3.7 juta pelancong melawat kawasan itu pada 2023, dengan 42 peratus daripadanya memilih untuk menaiki unta.

Katanya, sejak Disember 2023, jumlah pengunjung melonjak 22.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019, sebelum pandemik Covid-19.

Peningkatan ketara ketibaan pelancong menghasilkan pendapatan lumayan bagi penternak unta tempatan seperti Zhao Wenlong.

Zhao, 42, adalah penternak unta berpengalaman dari perkampungan Yueya Spring yang memiliki 21 unta.

Pada 1990-an, sebelum pengenalan tarikan pelancongan itu, hanya sebilangan kecil petani di kampung itu mengusahakan penternakan unta.

Penduduk tempatan dahulunya bergantung kepada penanaman aprikot sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Bagaimanapun, jarak kampung yang berdekatan dengan padang pasir mengakibatkan tanah ladang sering dilanda ribut pasir, hingga hasil tuaian yang tidak baik dan memberikan pulangan rendah.

Perkembangan pesat aktiviti pelancongan di kawasan itu memberi harapan untuk penduduk kampung menceburi perniagaan dengan menggunakan unta.

Aktiviti rekreasi untuk pelancong pada mulanya hanya membabitkan orang ramai bergambar di belakang unta, namun ia beralih kepada perkhidmatan tunggangan unta meliputi jarak dekat.

Kini mereka boleh menikmati keindahan pemandangan padang pasir sambil menaiki unta, selama sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 11:16 AM