KELUARGA bahagia menjadi dambaan semua orang.
KELUARGA bahagia menjadi dambaan semua orang.
Mohd Rizal Azman Rifin

Kehidupan berkeluarga aman harmoni tentu menjadi impian pasangan suami isteri yang mahukan kelangsungan hidup sentiasa berada dalam situasi dirahmati Ilahi. Tiada sebuah keluarga pun yang sepanjang masa berada dalam keadaan yang didamba. Sesekali timbul juga keadaan yang mengeruhkan hubungan. Itu resam dalam keluarga berkeluarga. Langit tidak selalu cerah, sesekali datang juga awan mendung penanda hari mahu hujan.

Teringat saya kepada bait dalam ungkapan lirik lagu yang berjudul Pada Syurga Di wajahmu' nyanyian penyanyi tersohor negara, Nash. Dalam rangkap pertama lagu itu diungkapkan, 'Tuhan sengaja menduga kita, di mana kesabaran manusia, engkau isteri yang kusanjungi, lambang semangat cinta dunia.'

Demikian teratur dan indahnya susunan bait dalam rangkap pertama lagu Nash itu yang mampu memberikan satu ruang untuk berfikir. Ia bukan sekadar sebuah lagu kerana di sebalik kata-kata penuh puitis, terangkum banyak pendidikan buat kita dalam mewujudkan kebahagiaan dalam kehidupan suami isteri.

Saban masa kita sering bertembung dengan pelbagai cabaran. Sebagai pengemudi bahtera rumah tangga, suami wajib memahami erti sebenar kesabaran dan belajar menghayati makna pengorbanan isteri. Kombinasi dua hati daripada dua insan yang sentiasa memiliki daya tahan terhadap cabaran hidup adalah mekanisme melahirkan situasi penuh sejahtera.

Isteri bukan sahaja melayan kehendak kita, tetapi dia juga terpaksa melalui rutin harian yang sangat mencabar dengan mengurus selia segenap aspek urusan hal ehwal dalam rumah tangga khususnya yang bersangkutan anak. Bukan senang dan bukan suatu kerja mudah. Inilah hakikat yang wajib setiap suami memahami dan menyelami keperitan tugasan perlu dibereskan oleh isteri.

Dalam situasi penuh kepenatan seharian mengelolakan hal ehwal rumah tangga, sudah tentu pihak isteri amat memerlukan suami bertindak adil dengan mempamerkan sikap kasih sayang dan lemah lembut dalam layanan kepadanya serta anak. Inilah timbal balik yang wajar setiap suami lakukan agar semua pihak dapat berasakan betapa bahagianya berada di dalam rumah tanpa ada hiruk-pikuk kekecohan perbalahan.

Sedangkan haiwan pun Rasulullah SAW sarankan kepada kita agar melayan dengan penuh kasih sayang dan berperikemanusiaan, apatah lagi terhadap isteri sendiri. Tidakkah kita pernah mendengar satu kisah yang dipetik daripada sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Daud? Dikisahkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW keluar menaiki unta dengan ditemani Abdullah bin Jaafar yang duduk di bahagian belakang.

Kemudian Rasulullah SAW dan Abdullah melalui sebuah kebun yang pemiliknya daripada kaum Ansar. Semasa memasuki kebun berkenaan, Rasulullah SAW terdengar suara seekor unta yang seolah-olah sedang mengeluh. Kelihatan pada Rasulullah SAW yang unta itu menjulurkan lehernya ke arahnya. Unta itu seakan-akan sedang meminta pertolongan dan merintih akan nasibnya. Lebih daripada itu, kelopak mata unta berkenaan basah seperti sedang menangis.

Tatkala menyaksikan situasi demikian, Rasulullah SAW tidak berlengah lagi lalu turun dari untanya mendekati unta yang sedang merintih itu sambil mengusap-usap kepala dan belakang telinga unta berkenaan. Lalu unta itu diam dan tenang. Rasulullah SAW dan Abdullah memerhatikan keadaan sekeliling kebun itu lalu bertanya siapakah pemilik unta itu?

Seketika kemudian muncullah seorang pemuda Ansar dan menjawab: "Sayalah pemilik unta ini." Rasulullah SAW bertanyakan pemuda itu: "Tidakkah engkau takut kepada Allah atas unta yang Allah amanahkan kepada kamu ini! Sesungguhnya ia mengadu kepadaku bahawa kamu biarkan ia kelaparan dan keletihan." Terkejut pemuda Ansar itu mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tadi lalu terkeluar pertanyaan kembali kepada baginda: "Benarkah begitu ya Rasulullah SAW? Sesungguhnya saya benar-benar tidak mengetahuinya."

Lalu baginda menasihati pemuda itu dengan satu nasihat: "Selepas ini pastikan unta kamu ini diberikan makan, minum dan biarkan ia berehat. Janganlah kamu menderanya dengan melakukan kerja yang di luar kemampuannya." Demikian sedikit sedutan kisah daripada sebuah hadis sahih yang menunjukkan betapa prihatinnya Rasulullah SAW terhadap sikap melayan dan memberikan kasih sayang terhadap haiwan. Jadi, timbul tanda tanya di sini, kalau taraf seekor haiwan pun baginda tidak izinkan kita mendera dan menganiayanya dengan sewenang-wenangnya, mengapakah pula kita sebagai suami sanggup bertindak zalim dan tidak bertimbang rasa terhadap isteri?

Sebab itu dalam usaha membina sebuah rumah tangga sejahtera, kita sebagai seorang suami wajib hulurkan sikap penuh bertimbang rasa, sentiasa memahami getir tugasan isteri, bersikap lemah lembut baik dalam tutur kata mahupun tindakan kepada isteri dan anak. Inilah perilaku sunah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Malah, dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW yang masyhur semasa baginda berada di suatu lembah di Padang Arafah, antara lain baginda menasihatkan kita dengan sabdanya: "…Maka takutlah kamu kepada wanita kerana sesungguhnya kamu menjadikan mereka (isteri) sebagai amanah Allah dan halal bagimu faraj mereka dengan kalimah Allah (akad nikah), hak kamu kepada mereka adalah untuk tidak mendatangi tempat tidur waktu tidak kami kehendaki. Maka apabila mereka berbuat demikian (nusyuz), pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Hak mereka (isteri) kepadamu adalah mendapatkan nafkah dan pakaian dengan baik…" (dipetik dari sebuah hadis yang panjang sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Justeru, apa pun situasi mencabar yang terpaksa dihadapi, sewajarnya sikap bertenang dan bersabar tetap bersebati dalam diri baik suami mahupun pada diri isteri. Hanya dengan sikap saling menghormati dan bertoleransi akan menjadikan kehidupan berkeluarga dalam keadaan aman damai. Usah dibiarkan emosi amarah meluap tanpa diimbang kawalan iman. Ingatlah selalu - 'Ikut hati boleh membawa mati, ikut rasa kemungkinan terjerumus ke lembah binasa, namun andai ikut pertimbangan iman, kehidupan insya- Allah dilimpahkan kedamaian.'

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:02 AM