MOHAMED Abdul Hakam kini menjadi tukang kasut untuk mencari rezeki selepas diberhentikan kerja Mei lalu. FOTO Ihsan Mohamed Abdul Hakam dan Abdul Ghafur Hanafiah
MOHAMED Abdul Hakam kini menjadi tukang kasut untuk mencari rezeki selepas diberhentikan kerja Mei lalu. FOTO Ihsan Mohamed Abdul Hakam dan Abdul Ghafur Hanafiah
Redzuan Muharam


"KEKOK juga, selama ini rutin harian saya memasak dan memegang senduk serta kuali di dapur, kini membaiki kasut pula," kata Mohamed Abdul Hakam Yunus.

Mohamed Abdul Hakam, 31 memberi reaksi itu ketika berkongsi pengalamannya yang kini mencari rezeki sebagai tukang kasut sejak dua minggu lalu.

Menurut bapa seorang anak berusia empat tahun itu, pekerjaan berkenaan dilakukan selepas diberhentikan kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dekat Melaka Central, pertengahan Mei lalu.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, bukan mudah untuk dia beralih bidang kerana sudah tujuh tahun menjadi tukang masak, namun keadaan kewangan memaksanya berbuat demikian.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, keadaan berubah apabila saya lebih banyak duduk di rumah kerana tukang masak di restoran ramai jadi kami harus bekerja mengikut giliran.

"Rezeki tidak menyebelahi saya apabila diberhentikan kerja dan kali terakhir bekerja pada 12 Mei lalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamed Abdul Hakam berkata, selepas diberhentikan kerja, dia cuba berniaga dengan nasi ayam penyet bagi menyara anak dan isteri, tetapi hanya bertahan untuk dua minggu.

"Dua minggu lalu, saya ditawarkan pula bekerja sebagai tukang kasut.

"Walaupun tidak pernah melakukannya, saya cuba demi mencari rezeki yang halal," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana isteri, Siti Aminah Samsuddin, 27, memahami dan memberi galakan untuknya mencuba.

"Sebelum memulakan kerja sebagai tukang kasut, saya ada memohon pekerjaan di pasar raya serbaneka dan kilang tetapi tiada panggilan diterima setakat ini.

"Saya faham kerana ketika ini, tidak banyak syarikat yang mahu mengambil kakitangan baru.

"Jadi, saya terima tawaran sebagai tukang kasut. Mulanya memang sukar kerana tiada asas dan kemahiran langsung untuk membaiki kasut tetapi saya diberi bimbingan, malah kini masih dalam peringkat latihan," katanya.

Di sebalik kesukaran itu, Mohamed Abdul Hakam bersyukur kerana diberi peluang menimba pengalaman baru.

"Saya merantau keluar dari kampung halaman sejak 2006, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah bekerja kilang sebelum menjadi tukang masak .

"Walaupun sedih selepas diberhentikan kerja, saya cuba terima ujian ini dengan reda kerana percaya ramai di luar sana yang hidup lebih susah," katanya.

ABDUL Ghafur Hanafiah melatih Mohamed Abdul Hakam cara membaiki kasut. FOTO Ihsan Mohamed Abdul Hakam dan Abdul Ghafur Hanafiah
ABDUL Ghafur Hanafiah melatih Mohamed Abdul Hakam cara membaiki kasut. FOTO Ihsan Mohamed Abdul Hakam dan Abdul Ghafur Hanafiah

Sementara itu, Abdul Ghafur Hanafiah yang juga pengasas Kelinik Kasot berkata, dia menawarkan pekerjaan kepada Mohamed Abdul Hakam kerana mahu membantu selain memerlukan pekerja selepas sekian lama bergerak sendiri.

Katanya, dia pernah menawarkan Mohamed Abdul Hakam bekerja dengannya sebelum ini tetapi lelaki itu terikat dengan komitmen kerja di restoran.

"Ramai yang hilang pekerjaan dan kemahiran amat penting untuk menjamin masa depan demi kelangsungan hidup.

"Kemahiran membaiki kasut salah satu daripadanya dan jujurnya, saya kagum dengan keberanian Mamat (gelaran untuk Mohamed Abdul Hakam) kerana sanggup beralih bidang serta belajar benda baharu walaupun sudah lama menjadi tukang masak.

"Disebabkan itu, saya kongsikan kisahnya di Twitter dengan harapan pengikut saya dapat mengambil mesej daripadanya," katanya yang menawarkan khidmat membaiki kasut sejak Ogos tahun lalu dan buat masa ini melakukan kerja itu di rumahnya dekat Peringgit, Melaka.

Sehingga berita ini ditulis, ciapan Abdul Ghafur mengenai kisah Mohamed Abdul Hakam ,kelmarin mendapat 3,477 tanda suka dan 5,470 ulang ciap.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 8:49 PM