WAJAH gembira graduan yang berjaya menamatkan pengajian.
WAJAH gembira graduan yang berjaya menamatkan pengajian.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Walaupun sibuk bekerja di sebuah restoran di Georgetown, ia tidak menghalang seorang pelajar Kolej SEGi Pulau Pinang, Mohd Asri Mohd Sayutti dinobatkan pelajar cemerlang Diploma Kursus Kulinari, tahun ini.

Mohd Asri, 23, berkata, dia kerap sibuk bekerja di Restoran Adams sejak mula mendaftar di institusi berkenaan, tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia bekerja di restoran itu bagi me­ngurangkan beban keluarganya yang tinggal di Gurun, Kedah, serta untuk membayar yuran pengajian.

“Saya datang daripada keluarga miskin. Bapa sudah tidak bekerja dan ibu pula suri rumah. Saya terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang bagi menyara diri dan keluarga di kampung.

“Walaupun sibuk dengan kerja separuh masa di restoran, saya sentiasa mengulang kaji pelajaran selepas balik kerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej SEGi Pulau Pinang, baru-baru ini.

Mohd Asri yang mempunyai tiga adik-beradik berkata, impiannya untuk menjadi tukang masak sudah disemai ibunya ketika di sekolah rendah lagi.

“Sejak kecil, ibu mahu saya menjadi tukang masak berjaya kerana mempunyai kebolehan memasak.

“Impian ini menjadi kenyataan selepas saya mendaftar diri di Kolej SEGi sebagai pelajar kulinari.

“Banyak ilmu dan pengalaman saya peroleh selepas memasuki kolej ini,” katanya.

Pengetua kolej berkenaan Cheah Teong Keat berkata, pelajar sentiasa didedahkan dengan pengetahuan mendalam bagi setiap jurusan diambil.

“Kami menyediakan kursus bertepatan dengan industri terkini dan mengambil kira peluang pekerjaan di pasaran.

“Setiap kursus ditawarkan mengikut kehendak industri selain mempunyai akreditasi daripada Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 10:29 AM