NOR Adira dan Ahmad Shauqi kini sudah tinggal bersama  sebaik kebenaran rentas negeri untuk pasangan diberikan kerajaan sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu.
NOR Adira dan Ahmad Shauqi kini sudah tinggal bersama sebaik kebenaran rentas negeri untuk pasangan diberikan kerajaan sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Zuhainy Zulkiffli


Kuala Lumpur: "Hampir sebulan kami tidak berjumpa selepas disatukan secara maya.

"Alhamdulillah, kini kami sudah tinggal bersama di rumah sewa di Sri Damansara dan menjalani kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain," kata Nor Adira Mohamad Noor, 30.

Nor Adira dan pasangan, Ahmad Shauqi Mohd Yassin, 28, melangsungkan majlis akad nikah secara sidang video pada hari pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 4 Mei lalu.

Pasangan terbabit berkenalan kira-kira tujuh tahun lalu ketika menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Negeri Sembilan sebelum mengikat pertunangan tahun lalu dan merancang mengadakan majlis perkahwinan pada 4 April lalu.

Berkongsi pengalaman, pekerja bahagian pemasaran sebuah butik pakaian di Kuala Lumpur itu berkata, pada mulanya mereka berhasrat menangguhkan majlis sehingga penularan wabak Covid-19 di negara ini reda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran pernikahan dan ujian saringan HIV yang dilakukan mempunyai tarikh tamat tempoh menyebabkan mereka membuat keputusan menyegerakan pernikahan.

"Saya berat hati untuk bernikah melalui kaedah sidang video kerana segala persiapan majlis perkahwinan sudah dibuat.

"Saya berdoa meminta petunjuk dan pandangan ahli keluarga lain termasuk rakan. Mereka menasihati saya supaya mendahulukan yang wajib dan majlis perkahwinan boleh diadakan kemudian.

"Saya memujuk ibu dan beritahunya mungkin inilah bahagian saya (ketentuan) dan perancangan terbaik daripada Allah SWT. Saya bersyukur ibu bersetuju dan majlis berlangsung mengikut jadual ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pernikahan mereka berlangsung menerusi aplikasi Skype membabitkan dia dan keluarga, suami serta jurunikah.

 NOR Adira dan Ahmad Shauqi bernikah secara sidang video pada hari pertama penguatkuasaan PKPB 4 Mei lalu.
NOR Adira dan Ahmad Shauqi bernikah secara sidang video pada hari pertama penguatkuasaan PKPB 4 Mei lalu.

Katanya, walaupun sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz namun mereka melalui kehidupan perkahwinan jarak jauh dan bertemu sebaik kebenaran rentas negeri untuk pasangan diberikan kerajaan sebelum perayaan Aidilfitri yang lalu.

"Saya masih belum bertemu keluarga mentua. Alhamdulillah, kerajaan sudah benarkan rentas negeri dan saya bercadang mengambil cuti untuk pulang ke kampung suami di Marang, Terengganu pada awal Julai ini.

"Jangan kita anggap kekangan yang berlaku ini daripada sudut negatif, sebaliknya terima perkara baru ini sebagai satu pengalaman berharga.

"Walaupun sedih sebab tidak dapat buat majlis perkahwinan impian namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 6:50 AM