Balqis Jazimah Zahari


JURURAWAT dan jurugambar perkahwinan menjadi pasangan pertama dinikahkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Perak.

Muhammad Razif Mohd Nasir, 28, dan pasangannya Fatin Nabilah Hussain, 28, selamat diakad nikah oleh jurunikah yang juga Pegawai Tadbir Agama Daerah Ipoh, Ashraf Ismail dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Hussain Harun, 57 di Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh, hari ini.

Fatin Nabilah berkata, dia sememangnya terbabit dalam tugas menjalankan saringan Covid-19 di jabatan kecemasan sebuah hospital swasta di Manjung membuat keputusan untuk bernikah selepas dipersetujui seluruh keluarga.

“Kebetulan saya memang cuti hari ini, dan kami pun bernikah selepas berbincang dengan semua ahli keluarga.

“Majlis akad nikah sepatutnya berlangsung pada 3 April lalu, manakala majlis sambutan di Perak pada keesokkan harinya, namun tidak dapat dibuat buat masa ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sementara itu, Muhammad Razif berkata, dia yang bekerja di Selangor tidak lagi mengambil tempahan berikutan tiada majlis perkahwinan yang dapat dilangsungkan dalam tempoh ini.

Katanya, walaupun tidak seperti kebiasaan, namun dia bersyukur majlis akad nikah berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar walaupun ibu dan ayah tidak dapat hadir, tetapi mereka gembira dan menyokong dengan menghubungi kami melalui panggilan video,” katanya.

Katanya, dia meminta surat kebenaran daripada pejabat agama untuk diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sebaik mendapat mendapat tahu kebenaran untuk bernikah.

Sementara itu, pengantin lain Nur Afiqah Abdul Ghaffar, 23, berkata dia dan suami Mohd Hanif Zamri, 33, memilih untuk menjalankan akad nikah selepas kebetulan kedua-duanya berada di Ipoh ketika tempoh PKP.

Nur Afiqah berkata, majlis akad nikah mereka sepatutnya berlangsung pada11 April lalu dan suaminya berada di Ipoh untuk mencuba baju pengantin iaitu dua hari sebelum bermula PKP.

“Alang-alang PKP dan dia pun ‘terlock’ kerana tidak boleh keluar serta balik ke Kuala Lumpur menyebabkan ahli keluarga bersetuju untuk kami bernikah hari ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusop berkata, seramai 50 pasangan dinikahkan seluruh Perak pada hari ini.

“Sebelum PKP, terdapat lebih 300 pasangan mendapat kelulusan untuk bernikah, tetapi kita tangguhkan apabila berlaku PKP ini.

MUHAMMAD Razif bersama Fatin Nabilah menjadi pasangan pertama diakad nikahkan pada pernikahan pertama di negeri Perak dalam tempoh PKP mengikut SOP ditetapkan di Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
MUHAMMAD Razif bersama Fatin Nabilah menjadi pasangan pertama diakad nikahkan pada pernikahan pertama di negeri Perak dalam tempoh PKP mengikut SOP ditetapkan di Pejabat Agama Islam Daerah Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 4:30 PM