ABDULLAH dan Zabidah selamat disatukan selepas berpisah hampir 51 tahun. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus
ABDULLAH dan Zabidah selamat disatukan selepas berpisah hampir 51 tahun. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus
Noor Hidayah Tanzizi

Ipoh: "Walaupun di penghujung usia kalau sudah jodoh tidak ke mana," itu seloroh pesara kerajaan, Abdullah Saleh yang memeterai ikatan perkahwinan bersama isteri, Zabidah Abdul Aziz selepas terputus hubungan sejak 51 tahun lalu.

Abdullah, 68, dan Zabidah, 65, yang juga bekas rakan sekolah di sekolah menengah di Kampung Gajah melangsungkan majlis pernikahan mereka sambil disaksikan keluarga dan anak masing-masing di Tambun, di sini, pada 28 Oktober lalu.

Pasangan warga emas berkenaan mendapat perhatian netizen selepas anak kedua Zabidah, Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus, 36, berkongsi video pernikahan mereka di akaun TikToknya.

Berkongsi kisahnya, Abdullah berkata, dia mula berkawan dengan Zabidah sejak wanita berkenaan berusia 14 tahun dan mereka juga tinggal di kawasan berhampiran, namun ikatan itu terputus dan membawa haluan masing-masing.

Menurutnya, mereka kemudian mendirikan rumah tangga bersama pasangan masing-masing, namun dia turut mengakui sepanjang tempoh itu mereka tidak pernah berhubung atau terserempak biarpun ketika pulang ke kampung halaman.

"Saya boleh katakan Zabidah adalah wanita pertama mengetuk pintu hati saya, tetapi ketika itu kami masih muda dan tiada jodoh untuk kami meneruskan persahabatan. Kami menjalani kehidupan bersama pasangan terdahulu dengan baik.

"Sudah takdir pasangan kami meninggal dunia terlebih dahulu dan saya yang kematian isteri pertama empat tahun lalu cuba mencari semula Zabidah yang turut dikatakan sudah kematian suami sebelum kami kemudian kembali berhubung, Ogos lalu," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

ABDULLAH (kiri) menyarungkan cincin ke jari Zabidah pada majlis pernikahan mereka. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus
ABDULLAH (kiri) menyarungkan cincin ke jari Zabidah pada majlis pernikahan mereka. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus

Katanya, enam anaknya turut bersetuju dengan keputusannya untuk kembali berumah tangga pada usia emas, namun mengakui kedua-dua isteri mempunyai tempat istimewa di hatinya.

"Saya terharu dan gembira apabila dapat bertemu kembali bekas rakan sekolah, malah kami juga bergelar suami isteri dengan menganggap ini jodoh pada penghujung usia dan kami kini saling menemani. Saya masih boleh memandu kereta dan alhamdulillah tiada penyakit jadi kami selalu keluar bersiar.

"Saya juga terharu dan berterima kasih dengan doa orang ramai di video TikTok itu dan saya turut bersyukur kedua-dua keluarga menerima kehadiran kami dengan baik. Doa saya semoga hubungan ini berakhir ke akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Nurul Ashiqqin berkata, dia bersama abang dan dua adik lelakinya menerima kehadiran bapa tiri dengan baik malah dia juga membantu menguruskan majlis ibunya termasuk menyediakan mini pelamin sebagai kenangan.

Katanya, pada mulanya dia tidak menyangka selepas tujuh tahun bapanya meninggal dunia ibu mahu berkahwin semula dan sebelum membuat keputusan itu wanita berkenaan tetap bertanya pendapatnya terlebih dahulu.

"Saya rapat dengan emak dan kami pernah bersembang kisah mereka namun dia cakap itu cerita lama, malah sudah hampir lupa tetapi tak sangka selepas 51 tahun takdir menemukan mereka semula apabila ayah (tiri) menghubungi emak pada Ogos sebelum mereka berjumpa pada awal September lalu.

"Kami adik-beradik gembira lihat emak gembira dan bersyukur ada peneman di hujung usia selepas arwah ayah meninggal dunia pada 2016 sebab semua duduk jauh dari dia. Kami tak mahu pentingkan diri dan ini memang sudah jodoh mereka," katanya yang mengakui bapa tirinya seorang yang baik.

Berhubung perkongsian videonya di TikTok, Nurul Ashiqqin berkata, dia hanya mahu menyimpan kenangan dan baginya ia hanya video majlis perkahwinan biasa cuma pasangan itu adalah warga emas, namun tidak menyangka ia akan meraih perhatian dan tontonan ramai serta banyak menerima komen.

ABDULLAH dan Zabidah mengambil gambar kenangan bersama keluarga Zabidah. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus
ABDULLAH dan Zabidah mengambil gambar kenangan bersama keluarga Zabidah. FOTO Ihsan Nurul Ashiqqin Mohamad Yunus

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 11:31 AM