Noorazura Abdul Rahman


PETUGAS barisan hadapan antara pasangan yang dibenarkan bernikah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Agama Daerah Kota Setar, di Alor Setar, hari ini.

Pembantu Perubatan, Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi, Fairuzfaiz Faiq Fairuzi, 23, berkata, dia sepatutnya mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Nurul Ainna Md Lutfi, 23, pada 3 April lalu, namun majlis mereka terpaksa ditangguhkan.

Katanya, dia kemudian memohon cuti kahwin baru-baru ini sebelum diluluskan selama lima hari bagi menghadiri majlis pernikahannya.

"Saya terpaksa berbincang bersama rakan sekerja bagi mengatur cuti supaya saya dapat hadir ke majlis akad nikah berikutan saya antara petugas barisan hadapan di HSM Langkawi.

"Saya bertugas di bahagian kecemasan dan perlu bekerja dua shif sehari selama 14 jam dan hanya dibenarkan bercuti sehari sahaja dalam seminggu.

"Namun saya bersyukur hasrat bernikah tercapai, walaupun majlis kami hanya dihadiri keluarga terdekat," katanya ketika ditemui selepas dinikahkan, hari ini.

PASANGAN adik-beradik, Nurul Allia Ezzati, dan pasangan Mohd Azran, (kiri) serta Nurul Ainna dan pasangan Fairuzfaiz Faiq menunjukkan sijil kahwin masing-masing selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kota Setar, Alor Setar. FOTO Amran Hamid
PASANGAN adik-beradik, Nurul Allia Ezzati, dan pasangan Mohd Azran, (kiri) serta Nurul Ainna dan pasangan Fairuzfaiz Faiq menunjukkan sijil kahwin masing-masing selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kota Setar, Alor Setar. FOTO Amran Hamid

Bagi Muhammad Faizi Rozali, 24, berkata, dia dan pasangannya Intan Shafinas Yaccob, 24, gembira kerana dapat meneruskan akad nikah walaupun tanpa sebarang persiapan lengkap.

"Sebelum datang ke sini, saya perlu meminta kebenaran perjalanan keluar daerah dari polis kerana menetap di Kulim.

"Sepatutnya memang ada majlis perkahwinan kami, tetapi semuanya ditunda sehingga tamat PKP, yang penting buat yang wajib dahulu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Ahmad Faisol Omar berkata, sebanyak 38 pasangan mendapat kelulusan bernikah sejak PKP.

Katanya, 29 pasangan sudah dinikahkan sebelum ini dan sembilan pernikahan dilangsungkan hari ini.

"Sebenarnya kita meluluskan 118 pasangan untuk bernikah ketika PKP, namun hanya 38 sahaja yang bersetuju meneruskan akad nikah manakala 77 tidak bersetuju dan tiga tidak memberi maklum balas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 5:05 PM